PCDS 2030 dijangka bantu GPS menang mudah PRN Sarawak
SHAH ALAM - Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang dilancarkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini dijangka akan membantu parti itu untuk menang mudah dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, strategi menangani Covid-19 itu dilihat akan mempengaruhi corak pengundian terhadap kerajaan negeri terdahulu khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
"Saya menjangkakan parti GPS yang dipengerusikan, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menang dengan mudah, walaupun mungkin akan ada sedikit kejutan (dari parti lain).
"Sebab bagi saya, mereka (GPS) telah banyak memberi (membantu rakyat) dan perkara ini (diakui sendiri rakyat) dan dapat dilihat di Facebook serta dalam diskusi-diskusi yang telah diadakan," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-309 bertajuk 'Perang empat penjuru bujang senang' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada malam Selasa.
Wacana itu turut menampilkan panelis penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mijibu Abd Muis dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamuddin manakala penyampai televisyen, Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
PCDS 2030 dilancarkan pada 22 Julai lalu oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Abang Johari bermatlamat menggadakan pertumbuhan ekonomi dari RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030.
Ia juga mengariskan enam sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu pembuatan, pertanian, komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan sosial, yang disokong tujuh pemboleh ubah iaitu transformasi digital, inovasi, tenaga boleh diperaharui dan pendidikan serta pembangunan modal insan.
Madeline menjelaskan, perkara paling utama yang dilakukan kerajaan GPS adalah dari segi langkah menangani Covid-19 bagi memastikan rakyat yang terjejas dapat dibantu.
Bahkan, katanya, cara menangani Covid-19 itu akan menjadi penentu kepada GPS untuk mempertahankan kemenangan di negeri itu pada hari pengundian 18 Disember nanti.
"Saya banyak lakukan analisis berkaitan Covid-19, jadi bagi saya keputusan PRN ini akan dipengaruhi oleh sejauh mana kesungguhan kerajaan menangani pandemik ini.
"Dalam strategi menangani pandemik, kita lihat ada tujuh pakej yang telah diperkenalkan khusus untuk masyarakat di luar bandar Sarawak untuk menyelesaikan masalah Covid-19 ini," katanya.
Selain itu, menurut beliau, GPS juga tidak terpalit dengan isu-isu besar yang boleh digunakan pembangkang sebagai modal kempen.
Ujarnya, isu-isu yang berlaku di Semenanjung Malaysia termasuk yang membabitkan kes mahkamah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memberi kesan yang banyak kepada pengundi untuk tidak menyokong GPS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!