Aspirasi Keluarga Malaysia tuntut penyatuan rakyat
KUALA LUMPUR - Elemen perpaduan menjadi teras bagi negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dengan perbezaan agama, budaya dan tradisi bagi memastikan kelangsungan negara yang aman, makmur dan harmoni.
Ibarat sebuah keluarga, kebahagiaan dan keharmonian hanya akan lahir apabila setiap ahli keluarga itu bersepakat dan bersatu padu.
Dalam konteks kenegaraan, perpaduan melibatkan penyatuan daya usaha, fikiran, cita-cita dan pengorbanan dalam satu ikatan yang sepadu, kuat dan maju dalam melahirkan sebuah negara bangsa.
Pensyarah Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu,Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhd Norizam Jamian, mengutarakan pandangan ini apabila diminta mengulas konsep Keluarga Malaysia, aspirasi cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, perpaduan adalah suatu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat agar dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air.
"Begitu juga halnya dalam konteks Keluarga Malaysia, perpaduan hanya akan muncul apabila rakyat Malaysia membentuk kesamaan dan kesatuan dalam mewujudkan identiti nasional di sebalik pelbagai rencam warganya," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
Kekalkan toleransi perpaduan
Untuk mengekalkan perpaduan, ia turut menuntut toleransi dan perpaduan semua kaum serta etnik di Malaysia.
Dua perkara tersebut merupakan intipati penting dalam melahirkan sebuah Keluarga Malaysia yang amat menerapkan nilai kesyukuran bersama.
Muhd Norizam turut menekankan bahawa terdapat dua perkara utama yang harus ada pada setiap rakyat Malaysia untuk terus mengekalkan toleransi dan perpaduan sesama kaum dan etnik di negara ini iaitu persefahaman dan penerimaan terhadap kepelbagaian warganya.
Persefahaman bermaksud setiap rakyat Malaysia perlu saling memahami antara satu sama lain.
Saya fikir majoriti rakyat Malaysia pada hari ini sudah menerima hakikat bahawa masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk.
Hal ini berlaku, jelasnya, kesan daripada penjajahan dan “dasar pecah dan perintah” oleh kerajaan kolonial Inggeris ketika memerintah negara ini, sehingga berlaku jurang antara etnik Malaysia dari sudut demografi, politik, ekonomi, bahasa, pendidikan dan pergaulan seharian yang berkekalan hingga kini.
"Oleh itu, setiap rakyat harus saling mengenali antara satu sama lain dari sudut bahasa, agama dan budaya.
Apakah perkara yang boleh dan tidak boleh, yang mana petua dan pantang larang bagi setiap etnik yang berbeza.
“Bak kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’.
Dengan cara ini, rakyat akan lebih memahami dan boleh mengelakkan timbulnya isu-isu sensitif akibat kesalahfahaman atau mungkin ketidakfahaman antara satu sama lain," tambahnya.
Muhd Norizam berkata, menerusi penerimaan terhadap kepelbagaian warga Malaysia, sekiranya sudah wujud persefahaman, rakyat Malaysia yang majmuk akan lebih mudah menerima seadanya antara satu sama lain.
"Setelah saling menerima, akan wujud semangat kekitaan dan persaudaraan. Mereka akan merasakan bahawa kewujudan mereka yang pelbagai itu adalah untuk saling melengkapi; bagai aur dengan tebing.
Aur atau buluh memerlukan tebing sungai untuk hidup.
Manakala tebing memerlukan akar-akar daripada aur agar tidak runtuh dan mudah hakis oleh air.
"Begitulah halnya kehidupan rakyat Malaysia sebagai sebuah keluarga. Boleh menerima kelemahan dan kelebihan masing-masing untuk hidup bersama secara harmoni.
Perbezaan warna kulit, bahasa dan kepercayaan tidak sepatutnya menjadi pemisah atau perpecahan warga Malaysia," katanya
Muhd Norizam turut menjelaskan, pandemik Covid-19 yang melanda negara tidak mengira kaum dan etnik dengan semua terkesan dari segi kesihatan, ekonomi, sosial, pendidikan dan kehidupan harian secara keseluruhannya.
Keadaan itu, katanya, menjadikan amat penting untuk semua rakyat Malaysia, sebagai sebuah Keluarga saling membantu.
“Umpama pepatah ‘sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk’.
Peribahasa ini membawa tema perpaduan iaitu sama ada susah atau senang dikongsi bersama.
“Sikap ini perlu diamalkan dalam masyarakat agar sama-sama bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu perkara.
Hanya dengan bersatu padu baharulah negara mampu bangkit kembali dalam mengharungi pandemik Covid-19," katanya.
Keluarga Malaysia konsep mudah difahami
Mengulas lebih lanjut konsep Keluarga Malaysia, beliau berpandangan, konsep yang sederhana itu menjadi kekuatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri kerana lebih mudah difahami oleh rakyat.
"Istilah keluarga merupakan istilah yang mudah difahami oleh segenap golongan dan kelompok masyarakat tidak kira kaum, kaya atau miskin, tinggal di bandar atau desa.
“Semua tahu maksud keluarga, justeru konsep ini sangat dekat di dalam hati rakyat kerana keluarga merupakan asas kepada masyarakat dan seterusnya negara.
Konsep ini juga amat sesuai dan bertepatan dengan situasi rakyat Malaysia yang majmuk," katanya.
Menurut beliau, dari sudut prestasi, pencapaian Ismail Sabri selepas 100 hari pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia boleh dinilai pada fasa memuaskan.
Hal tersebut dibuktikan melalui laporan yang dikeluarkan hasil tinjauan Ilham Centre yang mendapati tahap populariti pemimpin itu (Ismail Sabri) tidak kurang hebatnya apabila memperoleh 56 peratus ketika ini.
"Namun walau apa pun dasar atau konsep yang diperkenalkan oleh seseorang perdana menteri, perkara yang penting ialah keberkesanan pelaksanaannya dalam memakmurkan negara.
Secara umumnya konsep Keluarga Malaysia setakat ini menjadi landasan awal bagi mengatasi masalah ketidakstabilan politik, bencana pandemik Covid-19 yang semakin membarah serta kemelesetan ekonomi," katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, kebijaksanaan serta usaha berterusan masih diperlukan bagi mengatasi cabaran yang mendatang.
"Sebarang kekurangan dan kelemahan kerajaan perlulah diakui dan diatasi dengan segera, bukan diketepikan begitu sahaja.
Setiap rintihan dan permasalahan rakyat seperti kenaikan kos hidup misalnya perlu segera diselesaikan dan bukan sahaja didengari malahan diambil tindakan dengan pantas," katanya
Muhd Norizam turut mencadangkan agar aspirasi Keluarga Malaysia diterapkan dalam sistem pendidikan negara.
"Ibarat melentur buluh, biarlah dari rebung, menanamkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan generasi muda menjadi titik mula bagi memastikan kelangsungan kemakmuran Malaysia pada masa hadapan.
"Kita tidak mahu generasi mendatang dicemari fahaman perkauman yang melampau, individualistik dan ketiadaan integriti sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Pasti akan menjadi sia-sia keamanan dan keharmonian yang dikecapi Malaysia selama 64 tahun jika dimusnahkan oleh anasir-anasir negatif ini," katanya.
Bersatu hati tangani kemelut Covid-19
Di bawah konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan pada 22 Ogos 2021, rakyat Malaysia antara lain diseru mengetepikan perbezaan serta menggembleng tenaga untuk sama-sama memulihkan semula negara dalam mendepani pandemik Covid-19 serta merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Antara nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia adalah keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
(Maklumat lanjut mengenai Keluarga Malaysia boleh diperoleh dengan melayari sesawang http://www.keluargamalaysia.gov.my/)
Bagi pekerja swasta Noor Hasliza Nusi, hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara, sekaligus mampu menangani segala kemelut kesihatan yang melanda.
“Maka konsep Keluarga Malaysia yang dibawa perdana menteri bertepatan di mana ia menuntut kerjasama semua pihak tidak kira latar belakang dan bangsa.
“Pada tempoh ini, semua rakyat di negara ini harus mengetepikan perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati dalam hal politik negara.
Sama-sama perlu bangkit mencari solusi bagi menyelesaikan kemelut Covid-19 serta mencari kaedah terbaik menyatukan perpaduan dalam menempuh fasa endemik, ” katanya.
Beliau menambah, Malaysia memerlukan rakyat yang komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing serta mengambil iktibar akan Peristiwa Berdarah 13 Mei 1969.
Sementara itu, Pengarah Urusan Heritage G Tour Sdn Bhd, S Gokilan berpandangan, gagasan Keluarga Malaysia harus mencapai hasrat utamanya dengan memberi peluang sama adil dan saksama kepada semua rakyat negara ini termasuk peluang kemasukan universiti kepada kaum bukan Bumiputera.
Selain itu, katanya, Malaysia memiliki sistem sedia ada yang sangat baik di setiap kementerian umpamanya Kementerian Kesihatan yang amat efektif menangani masalah Covid-19 yang sedang melanda kini bermula dari menterinya sehingga ke peringkat petugas barisan hadapan.
"Maka saya amat mengharapkan gagasan Keluarga Malaysia ini mengekalkan sistem sedia ada dan memberi sokongan sepenuhnya kepada apa yang sedang dan telah dilaksanakan dalam menangani pandemik Covid-19 serta sektor kesihatan negara," katanya.
Pengusaha pelancongan itu berkata, dalam situasi negara yang menuju fasa endemik Covid-19, sudah tentu ia memberi cabaran tersendiri kepada ahli masyarakat termasuk golongan muda.
"Sebenarnya bukan zaman Covid-19 sahaja dianggap mencabar, sebelum kehadiran Covid-19 pun kita ada pelbagai cabaran lain.
Untuk anak muda anggaplah segala cabaran yang mendatang ini dapat membentuk diri, membentuk keluarga dan masa depan anda.
"Kerajaan pula perlu mewujudkan peluang selain daripada peluang konvensional antaranya, memperbanyakkan peluang pertanian, perikanan dan sebagainya kepada anak muda supaya mereka diberi peluang mencuba pelbagai bidang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!