Akaun Facebook Exco Kedah digodam
BALING - Akaun Facebook milik Exco Pendidikan, Agama dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad digodam menyebabkan ia gagal diakses pentadbir akaun sejak Ahad.
Setiausaha Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar berkata, perbuatan itu menyebabkan lima akaun lain yang ditugaskan sebagai pentadbir halaman terbabit gagal mengakses berikutan telah dinyahkan sebagai 'admin'.
Menurutnya, berdasarkan paparan, halaman terbabit kini telah ditadbir oleh tiga pemilik akaun Facebook dipercayai dari Vietnam berkemungkinan menggunakan akaun palsu.
"Facebook rasmi menggunakan nama Dato' Hj Najmi Hj Ahmad-Official dikesan telah digodam menyebabkan lima pentadbir tidak dapat mengakses halaman tersebut.
"Maklumat mendapati tiga akaun Facebook dari Vietnam sedang mengawal akaun rasmi milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang itu," katanya.
Mohd Sabri berkata, setakat ini pihaknya sedang berusaha mendapatkan kembali akaun terbabit yang kini telah diikuti seramai 15,000 pengikut.
Bagaimanapun, halaman terbabit masih boleh diikuti pengguna Facebook lain seperti biasa.
Katanya, PKWR Kupang kini menyediakan satu bentuk ganjaran kepada mana-mana pihak yang berjaya mendapatkan kembali akaun tersebut.
"Jumlah yang ditawarkan kita tidak dapat dedah atas faktor keselamatan, tetapi bagi mereka yang berjaya mendapatkan semula akaun Facebook tersebut, ada ganjaran menanti," katanya.
Beliau berkata, satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu sebagai rujukan pihak berkenaan.
"Kita bimbang pihak tidak bertanggungjawab yang menggodam Facebook berkenaan menyalahgunakan akaun tersebut untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian itu disedari pada 4 Disember lalu kira-kira 1 pagi yang mana akaun Facebook salah seorang daripada admin telah digodam dan menjadikan satu akaun Facebook atas nama Phuc Linh sebagai admin bagi akaun Facebook Dato’ Hj Najmi Hj Ahmad-Official.
"Kemudian, pemilik akaun Facebook Phuc Linh telah membuang kesemua admin lain menyebabkan halaman terbabit dikawal suspek," jelasnya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi iaitu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!