JPJ gempur lori lebih muatan di LPT 1
KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil tindakan terhadap 25 buah lori yang dikesan membawa muatan berlebihan dalam Ops Gempur Lebih Muatan selama dua hari di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), di sini bermula Isnin hingga Selasa.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Gambang itu, lori-lori berkenaan didapati membawa muatan melebihi 30 peratus berat muatan dibenarkan.
Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kebanyakan pemandu memberi alasan tidak tahu berat muatan dibawa melebihi had dibenarkan kerana mereka hanya mengikut arahan majikan.
Menurutnya, alasan diberikan tidak boleh diterima kerana mematuhi peraturan jalan raya terutama dalam isu muatan itu menjadi tanggungjawab kedua-dua pihak.
"JPJ memandang serius kesalahan kenderaan perdagangan lebih muatan ini kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu dan pengguna jalan raya yang lain.
"Sehingga November tahun ini, sebanyak 1,541 kesalahan melibatkan lebih muatan direkodkan oleh JPJ di laluan lebuh raya Semenanjung Malaysia," katanya pada sidang akhbar sempena Ops Gempur Lebih Muatan di RnR Gambang di sini pada Selasa.
Lokman berkata, operasi dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguat kuasa Trafik (JSPT) Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaksanakan berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak konsesi lebuh raya.
"Kita dapat maklumat tentang sebilangan besar pengendali kenderaan perdagangan membawa muatan barangan melebihi had muatan yang dibenarkan.
"Justeru kita laksanakan operasi ini dengan menggerakkan 56 pegawai termasuk dari PDRM dan pihak konsesi lebuh raya untuk menggempur kenderaan perdagangan membawa lebih muatan ini," katanya.
Tambah beliau, secara keseluruhannya sebanyak 376 kenderaan diperiksa dan 82 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk membawa lebih muatan.
"Tindakan undang-undang bagi kesalahan lebih muatan ini boleh dikenakan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 atau Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Tambah beliau, JPJ mengenal pasti antara barangan yang selalu dibawa secara melebihi had termasuk pasir, bahan binaan dan mineral.
"Pemandu lori yang melanggar undang-undang ini didapati sentiasa mengawasi pergerakan pihak JPJ dan memilih laluan dan waktu berbeza bagi mengelak dikenakan tindakan.
"Kita juga turut mengubah strategi dengan mengubah waktu operasi seperti pada operasi kali ini yang bermula jam 7 petang hingga 3 pagi pada Isnin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!