Bayi lemah, pucat sebelum meninggal dunia
SEREMBAN - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital selepas dilaporkan lemah ketika berada di rumah pengasuhnya di Senawang di sini, petang Selasa.
Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketika kejadian ibu mangsa berusia 24 tahun berada di tempat kerja sebelum dihubungi pengasuhnya pada jam 4.50 petang yang memaklumkan anaknya dalam keadaan lemah.
Menurutnya, ibu mangsa segera ke rumah pengasuh dan mendapati anaknya dalam keadaan pucat serta tiada tindak balas ketika cuba dikejutkan.
"Bayi itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan dan diberikan bantuan pernafasan (CPR)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Nanda berkata, wanita itu kemudiannya dimaklumkan oleh petugas hospital bahawa anaknya gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit diberi rawatan.
"Punca kematian belum diketahui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!