Guardiola tetap bangga aksi Manchester City
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola tetap memberikan pujian kepada skuad kendaliannya biarpun tumpas 1-2 kepada kelab Jerman, RB Leipzig bagi aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara pada Rabu.
Menurut Guardiola, kesemua pemain sebenarnya telah memberikan aksi terbaik di sepanjang aksi peringkat kumpulan hingga dapat mengesahkan kemaraan The Citizens lebih awal.
“Secara keseluruhannya, semua pemain telah memberikan aksi terbaik mereka untuk layak lebih awal ke pusingan kalah mati.
“Apa yang lebih membanggakan adalah pemain telah bekerja keras dan mengesahkan slot ke pusingan kalah mati sebelum saingan di peringkat kumpulan ini berakhir.
“Bagi saya, ia satu kejayaan yang cukup mengagumkan dan diharapkan ia akan berterusan selepas ini,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan Dominik Szoboszlai membuka jaringan buat Leipzig pada minit ke-24 sebelum Andre Silva menjaringkan gol kedua pada minit ke-71 sebelum Riyad Mahrez merapatkan jurang pada minit ke-76.
City kemudiannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Kyle Walkers dilayangkan kad merah pada minit ke-82.
Mengulas aksi berdepan Leipzig, Guardiola berkata, skuad Bundesliga itu sememangnya pasukan yang sukar untuk ditewaskan.
Bagaimanapun katanya, kemenangan ke atas Leipzig dilihat sebagai satu pencapaian yang cukup membanggakan.
“Pada separuh masa pertama, kami kehilangan rentak bagi mengimbangi asakan-asakan Leipzig, namun pada separuh masa kedua, keadaan menjadi lebih baik dan kami berjaya beraksi dengan lebih baik.
“Bagaimanapun akibat kelekaan kami, Leipzig berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-76 yang juga gol kemenangan mereka. Tahniah saya ucapkan kepada mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!