Dua lelaki ditahan seludup rokok dalam perabot
KUALA LUMPUR - Dua lelaki ditahan dalam serbuan Op Kontraban di sebuah premis milik sebuah syarikat pengangkutan penghantaran di kawasan Perindustrian Desa Tun Razak, Cheras di sini petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar berkata, dalam serbuan jam 5.30 petang, pihaknya menahan dua suspek berusia 58 dan 38 tahun serta menemui 2,993 karton rokok seludup yang disorok dalam perabot.
Menurutnya, hasil soal siasat, pihaknya telah menjalankan satu lagi serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya sekitar jam 8 malam pada Selasa.
"Dalam serbuan itu, polis merampas 807 karton rokok jenama asing warna merah dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM300,000.
"Modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan syarikat penghantaran dari Kuala Lumpur untuk menghantar perabot yang dipenuhi rokok ke negara jiran untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini pada Selasa.
Mohammad Idzam berkata, rokok tersebut dipercayai dibawa ke Kuala Lumpur dari Johor sebelum diseludup ke negara jiran.
"Sindiket menggunakan tipu helah dengan menggunakan perabot yang dibelah dua. Sebelah kosong manakala sebelah lagi dipenuhi dengan rokok.
"Kalau pemeriksaan dari mana-mana pihak berkuasa memang susah untuk jumpa. Kena periksa betul-betul dan kopak bahagian belakang ini baru boleh jumpa," katanya.
Katanya, kedua-dua suspek yang merupakan lelaki tempatan ditahan di Balai Polis Salak Selatan dan permohonan reman akan dimohon di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah pada Rabu untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!