Tempoh 10 hari serah notis antara pindaan Akta Perhimpunan Aman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tempoh 10 hari untuk penganjur menyerahkan notis sebelum mengadakan perhimpunan adalah antara pindaan yang akan dicadang ke atas Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 oleh Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman berkata cadangan itu akan dibentangkan oleh Menteri berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Fasal 9(1) APA 2012 menyebut penganjur hendaklah memberi notis mengadakan perhimpunan kepada polis dalam tempoh 10 hari, katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Mohd Azis berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perarakan wanita bersempena Hari Wanita Sedunia di ibu kota pada Sabtu lalu yang pemberian notisnya dikatakan tidak memenuhi syarat itu.

APA 2012 adalah antara enam undang-undang di bawah kementerian itu yang akan diperhalusi untuk dipinda atau dimansuhkan pada persidangan Parlimen kali ini.

Lima lagi ialah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Perhimpunan Sabtu lalu menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak susulan terselit unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!