Proses transformasi Parlimen tidak patut lewat: Rais

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses transformasi Parlimen Malaysia dengan objektif utama untuk memastikan konsep pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman perlu disegerakan, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, proses itu yang telah dipersetujui oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara merangkumi pindaan dan pemerkasaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, pembentukan Kod Etika Ahli Parlimen serta pindaan ke atas beberapa Peraturan Mesyuarat.

“Ketika ini konsep pengasingan kuasa antara legislatif dan eksekutif belum dilunaskan sepenuhnya.

“Pihak legislatif memahami eksekutif memerlukan sedikit masa untuk menterjemahkan segala persetujuan itu kepada realiti, perlu ditegaskan bahawa institusi legislatif khususnya Dewan Negara selaku Dewan Tertinggi Perundangan Negara memerhati dan meneliti perihal fungsi serta kedudukan masing-masing.

"Tidaklah sepatutnya dibenarkan berlaku kelewatan atau pun tempoh masa yang begitu panjang untuk cita-cita murni rakyat ini diterjemahkan kepada realiti sebenar," katanya dalam pemasyhuran pada permulaan persidangan Dewan Negara di sini pada Rabu.

Selain itu, Rais berkata, selaras dengan pembentukan tiga Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara, beliau telah menggariskan 20 bidang tugas untuk dijadikan panduan oleh Ahli Dewan Negara dan jumlah itu akan ditambah dari masa ke masa.

Tiga Jawatankuasa Pilihan Khas itu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat; Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus Integriti dan Antirasuah.

"Sebagai anggota legislatif tertinggi, setiap Ahli Dewan Negara perlu merubah sikap dan imej masing-masing agar persepsi kurang enak yang sebelum ini dikaitkan dengan Dewan ini dapat dibersihkan dengan penglibatan lebih aktif para Senator dalam melaksanakan bidang-bidang tugas itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara bidang tugas itu adalah kesungguhan membantu rakyat serta berusaha gigih dalam bidang kepakaran masing-masing.

Beliau meminta setiap Ahli Dewan Negara dilibatkan dalam proses pembangunan daerah, negeri dan negara.

Rais sebelum itu mengajak Ahli Dewan Negara bertafakur seminit untuk mengenang pemergian Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi yang meninggal dunia pada 26 Oktober lepas dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!