'Semua pihak perlu hormati sistem kehakiman negara'

Chandra Muzaffar
Chandra Muzaffar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak perlu menghormati keputusan sistem penghakiman dan undang-undang negara yang menjadi tunjang sistem demokrasi di Malaysia, kata Pengerusi Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), Chandra Muzaffar.

Mengulas keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan dan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Chandra berkata, sistem kehakiman adalah penting dalam pemerintahan di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN:[LAPORAN LANGSUNG] Najib didapati kekal bersalah

Bahkan, tegas beliau, setiap keputusan yang dibuat berdasarkan hujah-hujah yang kukuh sepanjang proses keadilan dijalankan.

"Kita harus menghormati sistem penghakiman dan undang-undang, kita harus buktikan kesetiaan kepada sistem ini sekiranya sistem itu adil dan boleh dipertahankan berdasarkan rule of law.

"Sekiranya kita tidak menghormati keputusan mahkamah kita, terutama selepas kes itu telah melalui beberapa peringkat dan kita masih tidak percaya dan tidak mahu memberi penghormatan kepada keputusan bermakna kita secara langsung dan tidak langsung melakukan sesutu yang menjejaskan sistem pengadilan kita.

"Lebih penting kita sebenarnya melakukan sesuatu yang mungkin akan mencemarkan dan meruntuhkan proses jangka panjang dan meruntuhkan sistem demokrasi dan pemerintahan kita,"jelas Chandra dalam wawancara bersama Astro AWANI pada Rabu.

Chandra turut menyatakan rasa kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang terlalu obses dengan politik serta pemimpin tertentu sehingga memberi sokongan yang disifatkan beliau sebagai membuta tuli.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan ini, Chandra menyenaraikan contoh perbicaraan Allahyarham Datuk Harun Idris dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat diterima oleh sebahagian daripada pengikut kedua-dua tokoh politik itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Najib didapati kekal bersalah

"Ini satu trend yang tidak sihat, kalau ada hujah berdasarkan hukum dan fakta itu lain soalnya, tapi pendirian itu berdasarkan emosi, kesetiaan politik kerana kita dalam puak tertentu, politik menyokong individu tertentu secara membuta tuli, sekiranya ini faktor saya merasa sedih.

"Kita bukan macam negara tertentu sistem kehakiman tidak begitu kukuh, kita punya sistem kehakiman dan hakim tersohor seperti Almarhum Tun Supian, Almarhum Sultan Azlan Shah dan sebagainya mereka telah perkukuhkan sistem ini selain hakim-hakim lain," jelas Chandra lagi.

Mengulas lanjut jelas, Chandra berkata, Najib masih mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan dalam mengenepikan sabitan dan hukuman dihadapinya.

Malah andai kata jika sabitan dikekalkan, Ahli Parlimen Pekan itu, tambahnya masih mempunyai peluang untuk mendapatkan pengampunan diraja.

ARTIKEL BERKAITAN:Mahkamah Persekutuan ‘talian hayat’ terakhir

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Najib yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN:Kronologi kes SRC

VIDEO BERKAITAN:Najib dihina, penyokong merintih

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!