MB, ADUN Tras perang mulut isu musang king

Sidang DUN Pahang. - Foto Bernama
Sidang DUN Pahang. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Isu penebangan 15,000 pokok durian musang king yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Batu Talam, Raub mencetuskan perbalahan di antara Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui sewaktu sesi perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, pada Rabu.

Yu Hui dalam perbahasannya membangkitkan isu kemusnahan pokok durian musang king pada Julai lalu telah menyebabkan punca pendapatan pekebun hilang dalam sekelip mata.

Menurutnya, tindakan itu disifatkan tidak berperikemanusiaan kerana semua pekebun terbeban akibat pandemik Covid-19.

"Pokok-pokok ini (musang king) telah diterokai selama 20 tahun. Kenapa tidak ambil tindakan pada peringkat awal. Pekebun-pekebun memohon geran atau lesen untuk menanam (musang king) tetapi sentiasa ditolak oleh pihak authoriti," katanya.

Yu Hui turut mendakwa tindakan kerajaan Pahang seolah-olah menganiaya pekebun durian kerana kebun itu satu-satunya pendapatan mereka.

Bagaimanapun perbahasan beliau dicelah oleh Wan Rosdy yang menegaskan bahawa aktiviti penanaman pokok durian tersebut dilakukan secara haram di kawasan hutan simpan.

Wan Rosdy berkata, berdasarkan perundangan sebarang aktiviti penanaman pokok di dalam kawasan hutan simpan adalah tidak dibenarkan.

"Sampai bila hendak tunggu buah durian tiada kerana pokok durian berbuah berfasa-fasa. Pekebun musang king berkenaan sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) secara tidak langsung membenarkan mereka menanam pokok tersebut selama 22 tahun tanpa membayar cukai.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, yang dikatakan satu penganiayaan itu tidak tepat sama sekali kerana mereka (pekebun) tanam bukan untuk cari makan, sebaliknya mereka berniaga. Kalau tanam lepas itu jual durian untuk beli beras, baru boleh kata cari makan. Kalau baca dalam media (surat khabar) ramai dalam kalangan mereka (pekebun) dikenakan cukai pendapatan bukan RM1 tetapi berjuta-juta," katanya dalam persidangan itu, pada Rabu.

Tambah Wan Rosdy, pembangkang seharusnya bersetuju dengan tindakan kerajaan dalam membanteras isu pencerobahan tanah haram khususnya hutan simpan.

"Sebagai kerajaan pada hari ini kita dengar orang bercakap "kalau hendak tanam durian, lombong haram, curi pasir sila pergi ke Pahang".

"Kata-kata seperti ini akan menjejaskan imej Pahang dan seolah-olah kerajaan membiarkan perkara berkenaan berlaku. Jadi, kita terpaksa buat (tindakan) tanpa ada untuk rasis," kata beliau.

Yu Hui kemudian mempersoalkan tindakan kerajaan Pahang memajak 1,213 hektar hutan simpan kepada Royal Pahang Durian pada tahun 2018 untuk menanam durian sedangkan lokasi itu merupakan kawasan tadahan air dan habitat spesies terancam, Harimau Malaya.

Katanya, jika kerajaan negeri benar-benar mengambil berat mengenai alam sekitar, sebahagian besar tanah yang menjadi habitat Harimau Malaya dan kawasan tadahan air itu tidak akan diberikan kepada syarikat swasta.

"Mengapa kerajaan negeri mempunyai 'double standard' (pilih kasih) dalam perkara pajakan tanah untuk tanaman durian ini? Adakah ini satu sikap yang hipokrit?," soalnya.

Wan Rosdy sekali lagi bangun mencelah dan memaklumkan kerajaan Pahang meningkatkan pewartaaan kawasan hutan setiap tahun.

"Sekarang hampir 6,000 hektar kawasan hutan diwartakan dan ia akan meningkat pada setiap tahun," katanya.

Bagaimanapun ketegangan itu berakhir apabila ditegur Timbalan Speaker DUN, Datuk Seri Mohamed Jaafar dengan meminta Yu Hui tidak menyentuh isu durian musang king.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!