Kejohanan bola sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari capai matlamat
KEJOHANAN bola sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari bawah 15 tahun dilihat telah mencapai matlamat yang disasarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, daripada penganjuran ini, kita dapat melihat bakat-bakat muda menyerlah dengan skil permainan yang membanggakan.
"Kita yakin dalam usia 13 hingga 15 tahun ini jika pendedahan demi pendedahan diberikan mereka akan menjadi pemain hebat bukan sahaja untuk negeri dan negara malah diperingkat antarabangsa," katanya dalam wawancara Radio di Selangor FM hari ini.
Kejohanan yang akan melabuhkan tirainya Sabtu ini menyaksikan 32 pasukan terbaik sekolah Selangor bersaing.
"Esok kita akan menyaksikan separuh akhir di mana SMK Tinggi Kajang akan menentang pendatang baru SMK Sijangkang Jaya manakala pasukan paling konsisten SMK Datuk Harun Tanjong Karang bertemu musuh tradisi SMK Meru.
Orang ramai dijemput menyaksikan perlawanan akhir pada 16 Mac ini (8.30 malam) di Stadium MBPJ Kelana Jaya.
Menurutnya hadiah lumayan disediakan penganjur utama Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Majlis Sukan Selangor.
Johan RM8,000, naib johan RM6000, ketiga RM4,000 dan keempat RM2,000. Sinar Harian adalah akhbar rasmi kejohanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!