Beri pendedahan antarabangsa kepada lebih ramai atlet paralimpik

Lee Kher antara atlet paralimpik negara yang cemerlang di Sukan Belia Para Asia (AYPG) 2021 di Bahrain.
Lee Kher antara atlet paralimpik negara yang cemerlang di Sukan Belia Para Asia (AYPG) 2021 di Bahrain.
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menyasarkan untuk memberikan pendedahan kepada lebih ramai atlet paralimpik di peringkat antarabangsa bagi memastikan mereka lebih cemerlang pada masa depan.

Malah menurut Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, gerakan atlet paralimpik di negara ini kini akan berkembang pesat lagi selepas memenangi tiga emas, lima perak dan lima gangsa di Sukan Belia Para Asia (AYPG) 2021 di Bahrain dengan peningkatan kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Saya gembira kerana terutamanya Majlis Sukan Negara, memberikan peruntukan untuk kontinjen sukan itu, dan mereka kini mempunyai bakat baharu dibangunkan sebagai atlet Paralimpik. Kita perlu mengenal pasti bakat baharu dengan pendedahan awal, bukan sahaja dalam negara tetapi juga di sukan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Megat D Shahriman berkata, MPM sering berhubung dengan pihak berkuasa negeri di seluruh negara bagi mengenal pasti bakat baharu menerusi program pencarian bakat sehingga ke peringkat daerah.

Untuk rekod, AYPG dari 2 hingga 6 Disember di Manama, perenang Zy Lee Kher memenangi tiga pingat iaitu, emas dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki, perak dalam 200m kuak kupu kupu dan gangsa dalam 200m rampaian individu.

“Beliau baru 15 tahun dan kini melihat kepada penyertaan di Sukan Paralimpik Paris 2024. Perenang ini dilahirkan tanpa dua kaki dan satu tangan yang pendek, amat bersemangat dan memecahkan catatan terbaiknya dalam setiap acara yang beliau sertai,” katanya.

Dua lagi pingat emas disumbangkan Ong Jia Xuan dalam ada 100m kuak dada dan Gloria Gracia Wong Sze dalam acara pingpong perseorangan wanita.

Sejumlah 13 atlet Malaysia berusia antara 12 ke 21 tahun mengambil bahagian dalam enam jenis sukan iaitu renang, olahraga, pingpong, powerlifting dan boccia.

Artikel Berkaitan:

Malaysia telah menyertai AYPG sejak 2009 memenangi 102 pingat keseluruhan - 32 emas, 35 perak dan 35 gangsa manakala pada edisi 2017 di Dubai, Malaysia yang menghantar 12 atlet untuk menyertai lima jenis sukan, membawa pulang lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!