'De Paula harus segera bangkit daripada lena panjang’

De Paula (dua dari kiri) menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Yishun, Singapura baru-baru ini.
De Paula (dua dari kiri) menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Yishun, Singapura baru-baru ini.
A
A
A

PENYERANG naturalisasi, Guilherme de Paula harus segera bangkit daripada ‘lena panjang’ jika tidak mahu terus menjadi sasaran kecaman penyokong Harimau Malaya.

Malah, penyerang kelahiran Brazil berusia 35 tahun itu dituntut mempamerkan karakternya selaku penggempur apabila diberikan kepercayaan menyarung jersi Malaysia.

Bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan berkata, de Paula tidak harus terbawa-bawa dengan emosi sehingga menjejaskan prestasinya di tengah padang, sekali gus memberikan impak negatif kepada Harimau Malaya.

Menjelang pertemuan menentang Laos dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan pada Khamis, Azman berharap de Paula mampu menambat semula hati penyokong Harimau Malaya.

“Bukan saja penyokong Harimau Malaya, paling penting de Paula harus mengembalikan kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih (Tan Cheng Hoe) selain rakan-rakan sepasukannya.

“Sepatutnya dia dah boleh survive dalam pasukan kebangsaan dan mampu menjaringkan gol ketika menentang Kemboja Isnin lalu. Jadi aksi menentang Laos nanti, dia harus menjaringkan gol jika diturunkan.

“Ia (menjaringkan gol) cukup penting untuk tingkatkan keyakinan dirinya. Jika tidak dapat menjaringkan gol, sekurang-kurangnya dia boleh buka peluang kepada rakan-rakan sepasukan menjaringkan gol.

“Kali ini kita nak tengok kesungguhan dia untuk menjaringkan gol dan sekiranya tidak berjaya, kita nak tengok bagaimana dia membantu mencipta peluang kepada orang lain pula,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Selepas gagal menyumbang gol dalam pertemuan menentang Kemboja yang menyaksikan Harimau Malaya menang 3-1, sentuhan de Paula sekali lagi ditagih Cheng Hoe bagi menggempur kubu Laos.

Justeru, Azman yang pernah membuat penampilan di pentas Piala AFF 1996, 1998, 2000 dan 2002 turut berharap de Paula bangkit menampilkan aksi lebih memukau.

“Bagi saya, de Paula ini boleh kata dalam kategori ‘pemain import’. Dia seharusnya lebih ke depan berbanding pemain tempatan yang lain, tetapi nampaknya dia pula yang struggle.“Apa pun, de Paula tidak ada cara lain kecuali dengan hanya menjaringkan gol untuk dia mengembalikan semula kepercayaan penyokong. Cabarannya lebih besar apabila berdepan dengan Vietnam dan Indonesia nanti,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!