Antara populariti dan bakat artis Malaysia

Pendedahan Yusry menerusi aplikasi Twitter.
Pendedahan Yusry menerusi aplikasi Twitter.
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, isu pengikut media sosial jadi kayu pengukur dalam memilih seseorang pelakon membintangi sesebuah drama kembali hangat diperkatakan.

Biarpun bukan satu isu baharu, namun ia menjadi perkara membimbangkan dalam kalangan pemain industri yang benar-benar berkaliber dan berbakat, tetapi tidak mempunyai jumlah pengikut media mencecah satu juta.

Ia juga boleh diibaratkan seperti menutup periuk nasi bagi mereka yang tertindas angkara tidak mempunyai jumlah pengikut mencukupi.

Isu ini mula menjadi perhatian setelah pelakon serba boleh, Amerul Affendi mendedahkan namanya beberapa kali disingkirkan hanya kerana tidak mempunyai jumlah pengikut yang ramai atau lebih tepat lagi tidak memiliki pengikut media sosial melebihi satu juta.

Lebih mengharukan apabila Datuk Yusry Abdul Halim memberitahu, namanya juga disingkir sebagai pengarah sebuah drama selepas beliau meminta pelakon utama naskhah berkenaan ditukar kerana tidak boleh menjayakan wataknya walau selepas tiga hari penggambaran.

Dan keputusan itu dibuat atas arahan stesen penyiar drama itu!

Persoalannya, sejak bila pengikut media sosial menjadi keutamaan dalam pemilihan pelakon sesebuah naskhah?

Mengapa pelakon berbakat dipinggirkan hanya kerana tidak mempunyai jumlah pengikut mencukupi? Bagaimana pula dengan nasib pelakon yang benar-benar berbakat ini?

Artikel Berkaitan:

Sampai bila penonton perlu disuap dengan karya yang tidak berkualiti hanya kerana pelakon popular media sosial menjadi kriteria utama untuk menerajui sesebuah drama?

Banyak lagi persoalan-persoalan yang tidak terjawab dan ia bagai dibiarkan berlalu dibawa angin.

Pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah baru-baru ini berpendapat, setiap penggiat seni sepatutnya lebih menghormati antara satu sama lain.

Pada pandangannya, setiap orang sepatutnya melakukan tugasan mengikut kepakaran masing-masing dan bukannya mengharapkan seorang pengaruh media sosial menjadi pelakon utama untuk menaikkan rating sesebuah drama.

Pendapatnya itu ada benarnya kerana tanpa sedar, penonton sudah mula dahagakan karya-karya yang berkualiti oleh pemain industri yang berbakat besar dan tidak hanya bergantung pada populariti semata-mata.

Drama I-Tanggang menjadi sebutan ramai kerana tampil dengan sebuah jalan cerita yang segar.
Drama I-Tanggang menjadi sebutan ramai kerana tampil dengan sebuah jalan cerita yang segar.

Drama i-Tanggang: Mother of All Lies contohnya, baru-baru ini telah menjadi sebutan ramai kerana tampil dengan sebuah jalan cerita yang segar dan dalam masa sama membuka mata masyarakat mengenai penyakit mental Munchausen Syndrome By Proxy, penyakit yang jarang diperkatakan dan tidak diketahui ramai.

Selain itu, drama ini juga tidak melibatkan pelakon baharu yang mempunyai jumlah pengikut media sosial tinggi, tetapi tetap mampu meledak setiap minggu tayangannya.

Antarabangsa

Filem Prebet Sapu turut membuktikan bahawa tanpa penglibatan pelakon popular, naskhah arahan Muzzammer Rahman itu tetap mampu mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi Ke-94 tahun depan bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

Prebet Sapu dibintangi pelakon yang tidak popular, tetapi menempatkan diri ke pentas berprestij.
Prebet Sapu dibintangi pelakon yang tidak popular, tetapi menempatkan diri ke pentas berprestij.

Bahkan filem berkenaan sudah menjengah lapan buah festival filem antarabangsa, termasuk Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona, Sepanyol dan Innovative International Film Festival, India.

Ini menunjukkan, walau tidak dibintangi pelakon popular di media sosial sebagai pelaris, dengan karya berkualiti, ia tetap mampu membuka mata penggiat seni tempatan dan antarabangsa.

Ramai pihak bercita-cita untuk mengangkat karya tempatan ke peringkat antarabangsa, tetapi tahun 2022 yang bakal menjelang tiba kurang 21 hari lagi, masih ramai yang berada di takuk lama.

Tidak salah untuk memilih muka atau bakat baharu yang hadir bak cendawan selepas hujan, tetapi biarlah yang benar-benar berbakat.

Kelak jika berjaya, yang berbangga dan harum namanya adalah industri seni itu juga. Ubah sentimen yang tidak sihat ini, andai kita mahu bersaing di pentas antarabangsa.

* Aqmar Mustaza ialah wartawan hiburan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!