Panggilan video pertama dengan bapa

Gambar Abdul Rahim yang masih berada di dalam simpanan Siti Zubaidah.
Gambar Abdul Rahim yang masih berada di dalam simpanan Siti Zubaidah.
A
A
A

KLANG - Rindu seorang wanita terhadap bapanya selepas terpisah sejak 20 tahun lalu akhirnya terubat selepas membuat satu panggilan video pada Isnin.

Siti Zubaidah Abdul Rahim, 20, berkata, pertemuan secara maya dengan bapa kandungnya, Abdul Rahim Ahmad, 47, menyentuh emosi dan berharap dapat berjumpa secara bersemuka dalam waktu terdekat.

"Saya memang terlalu rindu dan teringin menatap wajah ayah dan Alhamdulillah doa saya selama ini dimakbulkan ALLAH," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menerusi panggilan video itu, Siti Zubaidah memberitahu, bapanya ketika ini berada di Baling Kedah.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, bapanya meninggalkan dia dan abangnya selepas berpisah dengan ibunya, Umaiyah Mohd Ansar, 45.

"Selepas bercerai, ayah terus menghilang tanpa khabar berita manakala saya dan abang dijaga ibu Ayah tinggalkan kami ketika usia saya masih dua bulan dan tidak pernah kenal rupanya selama tempoh itu," katanya.

Siti Zubaidah yang menetap di Pulau Indah Klang berkata, sebelum ini dia berusaha mencari bapanya namun masih tidak ditemui.

Tambah wanita itu, usaha berkenaan hampir berjaya apabila menemui akaun Facebook bapanya di media sosial namun hampa apabila akaun itu tidak lagi aktif.

Artikel Berkaitan:

"Kali terakhir akaun itu aktif pada April 2020 dan saya ada DM (mesej peribadi) tetapi tidak berbalas.

"Akhirnya ALLAH gerakkan hati saya untuk mencari bapa kandung dengan memuat naik gambar dan status di Facebook," ujarnya.

Siti Zubaidah tidak menyangka apabila ramai individu menghubunginya dan menyerahkan nombor telefon bapa kandungnya.

"Kelmarin (Isnin) detik istimewa bagi saya kerana dapat menatap wajah insan yang saya kasihi walaupun hanya melalui panggilan video," katanya.

Jelas Siti Zubaidah, jika tiada halangan dia ingin hidup bersama insan tersayang itu hingga ke hujung nyawa.

"Kalau boleh saya ingin menjaga ayah dan berbakti kepadanya dan berharap hubungan ini kekal buat selamanya.

Katanya, pertemuan dengan bapanya itu juga lebih bermakna apabila dia bakal mendirikan rumah tangga pada Februari tahun depan.

"Alhamdulillah saya sudah temui ayah untuk menjadi wali pernikahan saya nanti dan anggap ini sebagai hadiah paling bermakna dalam kehidupan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!