Jaga adab, kelakuan ketika melancong
TUMPAT - Menjaga adab dan kelakuan ketika melakukan riadah atau melancong ke sesebuah destinasi dapat melindungi diri daripada gangguan jin yang berada di rumah tumpangan serta hotel yang lama tidak berpenghuni.
Pengasas Pusat Rawatan Al Idrus (PRAI), Shafiq Mujahid berkata, amat penting untuk memelihara perlakuan dan adab termasuklah perkataan yang keluar dari mulut ketika berada di tempat baharu atau bangunan lama yang ditinggalkan.
Beliau yang juga pendakwah bebas berkongsi nasihat secara umum itu berkata, rumah tumpangan dan hotel yang lama tidak berpenghuni lebih-lebih lagi sewaktu pandemik Covid-19 akan dihuni oleh jin.
“Jadi kita kena jaga percakapan walaupun dengan makhluk lain seperti jin, tidak boleh celopar atau sesuka hati dalam berkata-kata.
“Setiap kali masuk di mana-mana rumah baharu, rumah tumpangan atau hotel, bagi salam tanda kita hormat makhluk lain yang berada di dalamnya, baca surah al-Quran, kerap berzikir atau mengingati Allah dan berselawat iaitu memohon doa serta rahmat daripada Allah sebagai pendinding diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Rabu.
Beliau berkata, penting juga membetulkan niat dan tujuan membaca al-Quran di tempat-tempat baharu agar tidak terpesong seperti berniat untuk melawan atau mencabar jin.
“Niatkan bacaan-bacaan itu sebagai pendinding diri kita serta melaungkan azan sambil diniatkan untuk menghalau jin keluar sahaja.
“Bacaan yang diniatkan sebagai pendinding diri ini Insya-ALLAH akan dapat mengelakkan kita, anak-anak dan keluarga daripada dikacau jin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shafiq berkata, gangguan makhluk halus yang berlaku di sesebuah lokasi itu berkemungkinan tempat sendiri itu ‘keras’ kerana sejarahnya yang boleh jadi adalah tempat pembunuhan atau perbuatan lain yang kejam.
“Kedua, tanah tempat itu mungkin pusaka dijaga jin belaan yang tidak diketahui oleh warisnya manakala sosok yang dilihat mungkin bunian yang hidup dengan kehidupan di alam mereka sendiri sama seperti manusia.
“Selain itu, berdasarkan pengalaman individu itu sendiri juga berkemungkinan ada gangguan menyebabkan ada ruang untuk diganggu jin,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kisah tular sejak Isnin berhubung seorang wanita yang berkongsi pengalaman menyeramkan ketika percutian keluarga di sebuah banglo mewah di Melaka.
Keluarga itu diganggu dengan bunyi barang jatuh, tasbih direntap dan selimut ditarik hingga tidak lena tidur.
Bahkan mereka turut melihat sebuah vila kosong bersebelahan banglo mereka sedang diubah suai pada siang hari namun pada sebelah malamnya tiada dinding dipecahkan seperti dilihat sebelum itu.
Lebih menyeramkan apabila mereka menceritakan ada melihat seorang pekerja pembersihan yang membawa plastik hitam membersihkan rumah sebelah namun dikatakan hilang secara tiba-tiba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!