Abang Johari kecewa tindakan Ali Biju
KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kecewa dengan tindakan Datuk Ali Biju yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12).
Menurut beliau, tindakan Ahli Parlimen Saratok itu disifatkan sebagai melanggar perjanjian antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sempena PRN12.
"Sudah tentu saya sangat kecewa kerana kita ada perjanjian. Beliau (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin) telah memberitahu tiada ahli Bersatu akan terlibat dalam PRN di Sarawak," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Manifesto GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan penyandang kerusi DUN Krian itu yang bertanding sebagai calon Bebas bagi mempertahankan kerusinya pada PRN12.
Abang Johari yang juga Presiden GPS berkata, Muhyiddin turut membuat satu kenyataan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap Ali yang merupakan Naib Presiden Bersatu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan, tindakan tegas akan diambil terhadap Ali kerana bertanding meskipun atas tiket Bebas.
Wan Saiful berkata, Muhyiddin sebelum ini telah mengumumkan bahawa Bersatu tidak akan bertanding pada PRN12 sebaliknya akan memberi sokongan penuh kepada calon GPS.
Disebabkan itu katanya, tindakan Ali bertentangan dengan Perlembagaan Bersatu yang menyatakan mana-mana ahli bertanding tanpa kebenaran parti akan berhadapan dengan tindakan disiplin yang tegas termasuk boleh terhenti keahlian serta-merta.
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!