Manifesto gambarkan keseriusan, komitmen GPS

Kui Hian mengadakan sidang media mengenai manifestonya dalam PRN Sarawak ke-12 pada Khamis. - Foto Bernama
Kui Hian mengadakan sidang media mengenai manifestonya dalam PRN Sarawak ke-12 pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilancarkan pada Rabu menggambarkan keseriusan dan komitmen gabungan politik itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Ketua Menteri Sarawak, yakin dapat memenuhi janji-janji dalam manifesto itu sekiranya gabungan politik tersebut memenangi pilihan raya pada 18 Disember ini.

"Ketua menteri telah menjawab soalan itu (mengenai kemampuan memenuhi manifesto) malam tadi bagi pihak semua parti komponen GPS. Manifesto ini bagi kita adalah satu perkara yang serius," katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifesto beliau bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah pada Khamis.

Kui Hian yang mempertahan kerusi itu dalam persaingan empat penjuru berkata, manifesto tersebut menyasarkan untuk menyediakan kehidupan yang lebih berkualiti, penjagaan kesihatan dan mata pencarian kepada penduduk di DUN Batu Kawah.

Manifesto itu, antara lain, memfokus kepada langkah bagi melindungi kediaman, pendidikan dan nilai-nilai murni; meningkatkan kualiti hidup dan infrastruktur; menambah baik mata pencarian dan ekonomi digital serta kebangkitan Batu Kawah 2.0.

Kui Hian berkata, antara visi beliau bagi Batu Kawah ialah membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan isi rumah B40 dan M40 dengan sistem pemantauan keselamatan yang lebih baik menggunakan teknologi dron.

"Saya juga amat menghargai sokongan ketua menteri yang membenarkan saya memulakan skim deposit perumahan RM10,000 dari 1 Januari 2022 untuk mengurangkan beban kewangan ketika membeli rumah.

"Kami juga akan meneroka potensi ekonomi Batu Kawah dalam aktiviti masa lapang dan sukan selain menjana nilai sosial serta ekonomi dengan memberikan nafas baru kepada tapak kuari Ang Cheng Ho yang sebelum ini terbiar," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!