Tiada keperluan Sains, Matematik dalam Bahasa Inggeris
KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pejuang Bahasa Melayu menggesa kerajaan mengekalkan sistem pendidikan sedia ada dan membantah pelaksanaan semula Dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad berkata, pelaksanaan PPSMI memberikan impak negatif dengan penurunan penguasaan pelajar dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Melayu selama tujuh tahun sistem itu dilaksanakan.
Menurutnya, pelaksanaan program tanpa perancangan rapi dan kajian menyeluruh merosakkan sistem pendidikan dan menyebabkan pelajar menjadi mangsa.
"Kami bersetuju kepentingan bahasa Inggeris namun kerajaan perlu mengakui penguasaan bahasa itu terutama pelajar dari luar bandar adalah lemah dan perlu dipandang serius.
"Kami melihat kerajaan tergesa-gesa hendak melaksanakan semula program PPSMI yang bukan sekadar menjulang Bahasa Inggeris dan meminggirkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebaliknya menafikan sistem pendidikan kebangsaan," katanya mengulas kenyataan Dr Mahathir Mohamad semasa lawatannya ke Filipina baru-baru ini.
Dr Mahathir membenarkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sekolah namun menegaskan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam Bahasa Kebangsaan tetap diteruskan.
Dr Hasan berkata, berlaku kecelaruan dalam pelaksanaan sistem itu bukan hanya antara subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tetapi turut menjejaskan subjek-subjek lain.
"Jika kerajaan ikhlas mahukan penguasaan Inggeris dalam kalangan pelajar, pekerja awam dan swasta bukan sistem PPSMI yang perlu ditumpukan tetapi kaedah pembelajaran subjek itu yang perlu diberikan keutamaan.
"Jika subjek Bahasa Inggeris perlukan tambahan waktu pembelajaran tambah saja waktunya, jika perlukan peruntukan besar bagi kelengkapan pengajaran, latihan mahupun aktiviti maka lakukan tanpa mencampur adukkan dengan subjek lain," katanya.
Sementara itu Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Firdaus Abdullah meminta pelajar tidak dijadikan seperti tikus untuk bahan uji kaji.
"Tak perlu PPSMI sebaliknya tiga komponen ini perlu ditambah baik iaitu sistem pengajaran dan pembelajaran, kelayakan guru dalam subjek diajar serta bahan mengajar yang digunakan.
"Saya mencadangkan supaya satu persidangan peringkat nasional melibatkan negara serantau diadakan bagi melihat kaedah penguasaan bahasa Inggeris yang betul," katanya.
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Profesor Datuk Awang Sariyan berkata, PPSMI program yang salah dari segi dasar, matlamat dan pelaksanaannya.
"Kajian DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pembina mengesahkan PPSMI gagal sebelum dimansuhkan 2012 dan tidak patut kerajaan sekarang mengulangi semula kesilapan.
"Penguasaan Bahasa Inggeris hendaklah ditingkatkan melalui mata pelajaran itu sendiri. Pelajarilah dari negara lain melaksanakan sistem pendidikan dalam bahasa kebangsaan mereka sendiri sebagai bahasa penghantar seperti Jerman, China, Belanda, Perancis, Jepun dan Korea," katanya.
Menurutnya, Unesco dalam piagamnya menegaskan keberkesanan pendidikan adalah menggunakan bahasa sendiri.
Profesor Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Alam Bina UKM, Profesor Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud menyifatkan Bahasa Inggeris bukan satu-satunya bahasa sains sebaliknya hanya mula dialih bahasa sekitar tahun 60-an.
"Jika ikut sejarah Bahasa Perancis lebih awal digunakan dan tidak termaktub penggunaan Bahasa Inggeris dalam persidangan yang dilaksanakan apabila membenarkan bahasa-bahasa lain digunakan sehinggalah sekitar 60-an melalui alih bahasa yang dilakukan," katanya.
Wan Ramli berkata, beliau tidak bersetuju Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam Sains dan Matematik untuk penguasaan Bahasa Inggeris kerana ia melibatkan subjek yang berbeza.
"Pengaruh bahasa itu ditentukan mengikut penjajah yang pernah menjajah sesuatu negara itu dan kebanyakan negara Komanwel yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama tidaklah terlalu maju seperti yang dilihat di Nigeria dan Kenya.
"Yang sedikit maju mungkin di Singapura namun kebanyakan ahli sains mereka bukanlah dalam kalangan rakyat tempatan sebaliknya yang banyak melakukan penyelidikan adalah rakyat luar termasuk dari Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!