PH terus bela kepentingan Melayu, Bumiputera: Azmin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan kini dalam rangka menggubal satu dasar ekonomi Melayu baharu yang berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan serta perkongsian kemakmuran.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dasar baharu ini akan mencerakinkan semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia berkonsepkan “shared prosperity”.

Katanya, penggubalan dasar ini juga selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menegaskan bahawa PH tuntas membela hak dan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera.

"Lawatan kerja saya ke Kelantan minggu lalu telah membuka lembaran baru dalam usaha memperkukuh hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta menyuburkan semangat federalisme yang akan melonjakkan ekonomi rakyat khususnya masyarakat desa.

"Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan terus menggembleng usaha untuk mengangkat martabat warga Felda dan pekebun kecil yang sedang bergelut dengan masalah legasi pentadbiran yang lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin berkata, menerajui usaha ke arah modenisasi ekonomi berasaskan teknologi terkini serta berdepan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0, maka kementerian akan memulakan siri perbincangan dan libat urus (engagement) bersama pemegang taruh utama dalam sektor ekonomi negara seperti dewan-dewan perniagaan, anak-anak syarikat kerajaan (GLC), badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pakar-pakar ekonomi.

"Dengan berkat perpaduan rakyat yang rencam untuk menjayakan agenda ini,

Insya-ALLAH, ekonomi Malaysia akan kembali gah dan mampu bersaing dalam pasaran global," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!