KPI 100 hari Mindef tercapai, dilaksana sempurna
KUALA LUMPUR - Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari Kementerian Pertahanan (Mindef) berjaya dicapai dan dilaksanakan dengan sempurna sejak ia dilaksanakan pada 1 September lepas, kata Menteri Kanannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, KPI berkenaan dicapai melalui 15 inisiatif di bawah enam aspirasi untuk dilaksanakan dalam 100 hari pertama.
"Enam aspirasi berkenaan merangkumi memerangi Covid-19, mengawal sempadan negara, mengeratkan kerjasama antarabangsa, memenuhi keperluan kediaman anggota, membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan melaksanakan program jiwa murni.
"Tiada satu hari dalam 100 hari pertama saya di Mindef ini berlalu dengan mudah. Namun, inilah keistimewaan serta kekuatan warga Mindef dan ATM yang sanggup bekerja tanpa mengira waktu, berkorban masa serta berani berhadapan apa jua ancaman," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Pertama Pentadbiran Menteri Kanan Pertahanan di Kem Perdana Sungai Besi di sini.
Hishammuddin berkata, antara yang telah dicapai termasuk inisiatif pasukan vaksinasi perubatan kombat yang terpaksa menempuhi perjalanan sukar untuk masuk ke kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memberi vaksin.
"Alhamdulillah, hasil usaha pasukan itu, seramai 25,092 penduduk pedalaman telah dapat divaksinasi serta pelaksanaan vaksinasi pandu lalu iaitu dalam tempoh tidak sampai dua bulan seramai 14,097 remaja menerima vaksinasi lengkap hasil daripada inisiatif ini.
"Selain itu, pelaksanaan operasi benteng telah menahan seramai 17,023 pendatang tanpa izin setakat 7 Disember lepas. Tidak kurang itu, pengoperasian Hospital Medan melibatkan pasukan perubatan Kor Kesihatan telah banyak membantu KKM merawat ribuan pesakit Covid-19," katanya.
Mengenai perumahan, Hishammuddin berkata, untuk 100 hari pertama, matlamat Mindef adalah menyediakan sekurangnya-kurang 2,000 unit kediaman baharu dan ia telah dapat direalisasikan menerusi pelancaran 2,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Bukit Jalil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 November lepas.
"Ketika ini, Mindef sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara dari tahun 2021 sehingga tahun 2030," katanya.
Hishammuddin berkata, kementeriannya juga akan memulakan perancangan pasca 100 hari pada Jumaat.
"Insya-ALLAH, saya sendiri akan melihat apakah dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2022 melalui Pelan Tindakan 2022.
"Selain itu, kementerian saya akan turut memberi tumpuan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12, Pelan Strategik Mindef 2021-2025 serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata, pencapaian 100 hari tidak boleh menjadi kayu ukur kecemerlangan kementerian itu secara keseluruhannya tetapi ia boleh menjadi pemangkin kepada setiap inisiatif di bawah perancangan yang merangkumi tempoh jangka masa lebih dari 100 hari.
"Saya yakin dengan perancangan rapi, disiplin tinggi, struktur yang tersusun, kami boleh lakukannya dan saya memberi jaminan, selagi saya Menteri Pertahanan, saya akan bersama dalam setiap langkah perjuangan kami di Mindef dan ATM ini," katanya.
Turut hadir, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut Laksamana, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!