Lelaki ditahan disyaki khianat simbah cat
KOTA TINGGI - Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan menyimbah cat membabitkan kes pinjaman ah long di Taman Kota Jaya di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, penahanan suspek berusia 31 tahun itu dilakukan sebaik laporan dibuat oleh mangsa pada hari yang sama.
Beliau berkata, suspek kemudiannya ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di kediamannya di Bandar Desa Cemerlang di sini.
“Berdasarkan keterangan pengadu, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 pagi di mana rumah dan kenderaan milik mangsa telah disimbah cat merah sebagai amaran kerana tidak membayar pinjaman wang yang dibuat olehnya menerusi aplikasi Facebook pada 2019.
“Hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai menjalankan kegiatan menyimbah cat di rumah mangsa-mangsa yang gagal menjelaskan wang pinjaman di sekitar kawasan Johor sejak akhir November 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Hussin berkata, siasatan lanjut juga sedang dijalankan untuk mengesan ahli sindiket lain yang terlibat dengan kes sama.
“Dalam penahanan sama, polis turut bertindak merampas dua kereta, tiga unit kad ATM, satu unit telefon bimbit, satu tin cat dan peralatan menyimbah cat yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Justeru, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak sewenangnya terpengaruh dengan membuat pinjaman wang daripada sindiket pinjaman wang tidak berlesen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!