Lebih 50,000 dapat manfaat MammoSEL

Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Sejumlah 53,364 individu menerima manfaat menerusi program pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSEL) bermula sejak 2010 sehingga sekarang.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daripada jumlah itu masyarakat Melayu paling ramai menerima manfaat dengan 29,225 individu diikuti Cina (17,616), India (6,360 ) dan lain-lain (163).

Beliau berkata, mengikut kajian daripada Malaysia Medical Association (MMA), golongan paling berisiko mendapat kanser payudara membabitkan mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas manakala golongan berumur 35 hingga 50 tahun pula kurang berisiko.

“Selain itu, kaedah pemeriksaan juga turut ditambah baik dengan menyediakan pemeriksaan biopsi yang ditanggung kerajaan negeri dengan nilai sehingga RM2,500 setiap orang,” katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke -14 di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Rozana Zainal Abidin (PKR-Permatang) mengenai perkembangan program MammoSEL di Selangor.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkata, bagi mereka yang ingin membuat pemeriksaan boleh memohon secara dalam talian menerusi laman sesawang https://skw.yawas.my.

“Bagi permohonan yang berjaya, pihak hospital yang merupakan panel program ini akan menghubungi peserta untuk menetapkan tarikh janji temu pemeriksaan di hospital yang dipilih.

“Buat masa ini sebanyak 12 hospital swasta beserta cawangan telah menjalinkan usahasama sebagai panel bagi program ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!