Kerajaan perlu laksanakan gaji minimum baharu: MTUC
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan melaksanakan gaji minimum yang baharu dengan mengambil kira kenaikan kos barangan yang menyebabkan pekerja tidak dapat menampung kehidupan.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, ia selaras dengan Akta Majlis Perundingan gaji negara yang memerlukan gaji minimum disemak sekali setiap dua tahun.
Justeru, MTUC berpendirian bahawa kerajaan wajib menyemak dan menaikkan kadar gaji minimum bermula 1 Januari 2022.
“MTUC menegaskan bahawa gaji minima perlu diseragamkan di seluruh Malaysia bagi memberi mesej jelas bahawa konsep Keluarga Malaysia adalah tunjang kepada dasar kerajaan.
“MTUC menuntut gaji minimum sebanyak RM1,500 dengan Bantuan Sara Hidup (Cola) sebanyak RM300 diberikan.
“Kadar ini sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Am MTUC. Permintaan MTUC dengan kadar tersebut masih lagi sama semenjak tahun 2013,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, kenaikan gaji minimum perlu disegerakan untuk memperlihatkan bahawa kerajaan amat memberi perhatian atas isu pekerja dan memartabatkan golongan pekerja.
Ujarnya, kenaikan gaji akan memberi kesan kepada kenaikan penyimpanan pekerja golongan bawahan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan bertambah untuk kesejahteraan hari tua dan meningkatkan daya tahan kewangan selepas persaraan kelak.
Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, kerajaan juga perlu melakukan Transformasi Gaji Negara pada masa hadapan untuk memberi keadilan kepada semua lapisan pekerja.
“Pada masa kini, golongan bawahan hanya mendapat kenaikan dengan adanya kenaikan gaji minimum dan golongan pertengahan tiada kenaikan gaji.
“Transformasi Gaji Negara akan melibatkan kenaikan tahunan, tangga gaji setiap jawatan pekerjaan, kelulusan akademik dan sebagainya. Gaji minimum adalah salah satu daripada ciri-ciri gaji yang perlu dikemas kini.
“Kerajaan perlu ada iltizam yang tinggi untuk menaikkan kadar gaji minimum. Pengumuman Pendana Menteri berkenaan gaji minimum baharu adalah hadiah kepada pekerja sempena tahun baharu yang akan datang,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!