SelVax Booster Selangor tidak lagi terima secara jumpa terus
SHAH ALAM - Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 secara percuma oleh kerajaan Selangor menerusi Program SelVax Booster, tidak lagi menerima kehadiran secara jumpa terus atau walk in, berikutan permintaan yang tinggi pada hari pertama program berkenaan pada Rabu.
Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, warga Selangor yang ingin mendapatkan dos penggalak tersebut wajib melakukan prapendaftaran menggunakan kod baucar di aplikasi SELangkah untuk mendapatkan janji temu.
“Slot janji temu di setiap klinik adalah terhad kepada 150 orang sahaja setiap hari,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, cara-cara melakukan prapendaftaran dan kod baucar boleh diperoleh menerusi laman web https://bit.ly/selvaxb dan senarai klinik Selcare yang terlibat dalam pelaksanaan program itu terdapat di laman web https://selcareclinic.com/our-clinic/ serta aplikasi SELangkah.
Sebanyak 157,000 dos penggalak vaksin Covid-19 diberikan secara percuma kepada penduduk berumur 18 tahun dan ke atas, yang telah lengkap menerima dua dos vaksin di negeri ini, mulai Rabu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!