DUN Perlis lulus tiga RUU baharu

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Khamis meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan bayaran fi, taman awam dan lagu negeri, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata, RUU baharu berkenaan ialah RUU Enakmen Fi Negeri Perlis 2021, RUU Enakmen Taman Awam Negeri Perlis 2021 dan RUU Enakmen Lagu Negeri Perlis 2021.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kewujudan Enakmen Fi Negeri dan Enakmen Taman Awam Negeri itu dapat mendatangkan hasil kepada pendapatan kerajaan negeri.

“Sebelum ini, kita tidak ada satu undang-undang, enakmen yang membenarkan kutipan bayaran fi dibuat, contohnya macam kita ada aset kerajaan seperti dewan dan premis kerajaan lain, kita ada gerai, kita ada fasiliti sukan... ini dibuat supaya kutipan itu dilihat teratur memenuhi kehendak undang-undang dan juga memenuhi proses kewangan.

“Taman awam negeri Perlis sama justifikasinya, mesti ada undang-undang yang digunakan sebagai legal framework untuk membolehkan kerajaan negeri kutip bayaran macam kata pergi Wang Kelian, masuk gua kena bayar, kutipan itu mesti ada undang-undang baru betul,” katanya ketika sidang akhbar selepas persidangan DUN Perlis di sini pada Khamis.

Mengenai Enakmen Lagu Negeri Perlis 2021 pula, beliau berkata, ia diwujudkan untuk memastikan orang ramai menghormati lagu yang ada tatasusilanya itu.

“Satu undang-undang mengawal, bila menyanyi kena berdiri, kena duduk tegak macam lagu Negaraku, tak boleh dimain mainkan... jika ada sebarang pelanggaran berlaku kerana tidak menghormati lagu itu, maka akan boleh diambil tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan berkata, kerajaan negeri akan membeli kenderaan baharu bagi menggantikan kira-kira 15 kenderaan rasmi kerajaan negeri sedia ada yang melebihi tempoh lima tahun secara berperingkat kerana berdepan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan kekangan kewangan, kita tidak boleh beli serentak, jadi kita kenal pasti dulu kereta mana yang paling teruk, itu kita ganti dulu, macam dalam tahun 2020, tak silap saya dalam empat biji (kenderaan) kita ganti dulu, jadi taklah mahal sangat.

“Tahun 2021 kita beli lagi empat biji, 2022 kita beli lagi tambah dua, tiga biji lagi, ikut keperluan. Semua yang kita tukar ini kita ambil Honda Accord,” katanya.

Sidang DUN Perlis yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa sebelum itu ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!