Penetapan harga maksimum jamin kebajikan pengguna

Rosol Wahid
Rosol Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara pada Khamis diberitahu penetapan harga maksimum sesuatu barangan bukan bermakna ia dijual dengan harga lebih murah, sebaliknya memastikan barangan berkenaan tidak dijual dengan harga mahal seterusnya menjamin kebajikan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pengguna sering keliru terhadap istilah harga maksimum dengan menganggap mereka boleh membeli sesuatu barangan dengan murah.

"Contohnya ayam, hari ini kita (KPDNHEP) letak harga maksimum RM9.60, makna mungkin dia (peniaga) dapat (membeli) ayam harga lebih murah, dia jual mungkin dalam RM8.

"... tiba-tiba oleh kerana kerajaan letak harga maksimum dia up (naikkan) sehingga RM9.60. Ini yang berlaku," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021.

Menurut Rosol, bagi menangani isu kenaikan harga barangan keperluan, KPDNHEP merancang untuk melaksanakan satu projek rintis melibatkan kerjasama dengan pemain industri, peniaga serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita akan berbincang dengan PBT, kemudian akan letak label di kedai-kedai tertentu yang nak turunkan harga atau sanggup terima harga yang kita tetapkan. Peniaga ini mungkin diberi rebat sewa dan ini mendorong (mereka) mengurangkan harga,” katanya.

Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 itu yang bertujuan meminda Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) untuk menyusun semula dan memantapkan fungsinya supaya lebih komprehensif selari dengan peredaran masa diluluskan sebulat selepas dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Negara.

Persidangan Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 yang dibentangkan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim yang kemudian dibahas oleh tujuh senator.

Artikel Berkaitan:

Rang Undang-undang itu antara lain dijangka dapat membangunkan bakat dan kepakaran tempatan di dalam industri angkasa selain menjadikan Malaysia bukan hanya negara pengguna teknologi, tetapi terlibat dalam pembangunan teknologi berkaitan.

Rang Undang-undang (RUU) Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) (Pindaan) 2021 yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa sebelum itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh enam senator.

Beliau berkata, pindaan itu bertujuan melindungi kepentingan serta memelihara keyakinan orang ramai terhadap sistem perbankan dan insurans, seterusnya mengekalkan kestabilan sistem kewangan di samping merangsang pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran Malaysia.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!