IMC tak halang pemain Perak FC berhijrah
PEMILIK baharu Perak FC, Impact Media & Communication (IMC) tidak akan menghalang mana-mana pemain berhijrah ke pasukan lain.
Pengerusi IMC, Khairul Nizam Mahmood berkata, pihaknya perlu menyelesaikan beberapa isu dan masalah terutama berkaitan tunggakan gaji.
Menurutnya, selagi pengambilalihan belum disempurnakan dan isu-isu lain tidak selesai, sebarang tawaran atau jaminan kepada pemain sedia ada tidak dapat dibuat.
"Sebagai pemain profesional, pemain berhak membuat pilihan masing-masing untuk angkat kaki atau tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya.
"Perkara ini dah melibatkan Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM) dan perundangan, jadi kita tunggu dan saya akan membuat pengumuman bila ada keperluan untuk menamakan pemain-pemain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan IMC Sdn Bhd di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Khairul Nizam berkata, walaupun belum mengambil alih Perak FC, pihaknya telah memulakan usaha untuk membantu kelab itu.
Sementara itu, mengenai MoU berkenaan, Naib Presiden PAFA, Datuk Seri G Irudianathan berkata, dengan MoU itu, IMC diberi kuasa untuk mendapatkan segala akses dokumen Perak FC daripada PAFA.
Menurutnya, dalam tempoh 14 hari segala proses pengambilalihan dan penjualan saham 100 akan dilaksanakan setelah IMC membuat kajian menyeluruh sebelum menandatangani perjanjian jual beli.
Irudianathan berkata, pihaknya optimis pengambilalihan itu akan dapat direalisasikan walaupun ketika ini masalah utama yang dihadapi ialah tunggakan tiga bulan gaji pemain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!