PGA gagalkan cubaan seludup 3.2 tan daun ketum

Pemandu lori yang berasal dari Kubang Rotan, Kuala Kedah turut ditahan untuk tindakan lanjut.Gambar hiasan
Pemandu lori yang berasal dari Kubang Rotan, Kuala Kedah turut ditahan untuk tindakan lanjut.Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3,200 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM96,000 yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran di Kuala Kedah, Alor Setar pada Rabu.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 1 Briged Utara, PGA Ulu Kinta Deputi Superintendan Ayob Ismail berkata, pasukan risik Kompeni ‘D’ Batalion 1 yang membuat rondaan di kawasan itu telah terserempak dengan sebuah lori tiga tan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 11.45 malam.

Menurutnya, pasukan berkenaan kemudian mengekori lori tersebut sebelum mengarahkan pemandunya iaitu seorang lelaki berumur 34 tahun memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan di bahagian belakang muatan lori itu menjumpai 320 bungkusan plastik hitam yang di dalamnya mengandungi bungkusan plastik lut sinar yang membalut daun hijau disyaki daun ketum.

“Pemandu lori yang berasal dari Kubang Rotan, Kuala Kedah itu gagal menunjukkan Mykad ketika diminta menyebabkan dia ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat, lelaki tersebut mengambil upah sebanyak RM200 bagi satu perjalanan membawa muatan daun ketum ke destinasi dituju.

Ayob berkata, daun ketum tersebut dipercayai diperoleh di Padang Sanai, Padang Terap untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan laut berikutan kawalan ketat pagar sempadan oleh pasukan keselamatan ketika ini.

“Modus operandi mereka juga sudah berubah kerana sebelum ini mereka menggunakan motosikal atau kereta tetapi sekarang menggunakan kenderaan perdagangan iaitu lori untuk menyeludup daun ketum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!