Addy Kana diperintah bayar cukai pendapatan RM1.4 juta
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memerintahkan ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Datuk Addy Kana membayar cukai pendapatan berjumlah RM1,427,915.45 kepada Kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Maslinda Selamat pada pengurusan kes secara dalam talian (e-review) selepas penghakiman ingkar kehadiran difailkan oleh LHDN.
Berdasarkan semakan dalam sistem mahkamah (e-filing), Zaidi selaku defendan didapati telah gagal untuk memfailkan memorandum kehadiran walaupun serahan writ saman dan pernyataan tuntutan telah matang pada 24 November lepas dan mahkamah pada Khamis merekodkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap defendan (Zaidi) dengan kos RM1,500.
Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi.
Pada 1 Oktober lepas, Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN dengan menamakan Zaidi, 37, bagi tunggakan cukai itu selama dua tahun.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah (e-filing), kerajaan mendakwa bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.
“Oleh kerana defendan telah gagal membayar keseluruhan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus berjumlah RM38,002.57 dan RM91,807.92 telah dikenakan dan ditambahkan ke atas keseluruhan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) itu,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Dakwa plaintif, defendan masih gagal membayar kepada plaintif keseluruhan cukai pendapatannya yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) termasuk kenaikan-kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM1,427,915.45.
Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM1,427,915.45, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:LHDN saman Addy Kana tuntut RM1.4 JUTA
ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan mohon lucut wang milik Alvin Goh, isteri Addy Kana
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!