'Keputusan Ali Biju tarik diri satu pengorbanan besar, terpuji'

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Datuk Ali Biju menarik diri sebagai calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Sarawak adalah pengorbanan yang amat besar dan amat dialu-alukan.

Menurutnya, keputusan itu juga merupakan langkah terpuji demi menghormati hubungan setiakawan yang telah terjalin antara Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Saya amat mengalu-alukan keputusan beliau untuk menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas di DUN Krian.

"Keputusan beliau untuk tidak mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak demi menghormati hubungan setiakawan yang telah terjalin antara Bersatu dan GPS adalah satu langkah yang amat terpuji.

"Bagi saya, pengorbanan yang dilakukan oleh beliau adalah amat besar ertinya kepada persefahaman yang telah dicapai antara saya dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg dalam memperkukuhkan jalinan hubungan kerjasama antara Bersatu dan GPS di Sarawak.

"Ini termasuk persefahaman bahawa Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh Bersatu akan mengambil bahagian dalam Pilihanraya Umum ke-15 di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau turut menyambut baik sokongan Ali kepada calon-calon GPS yang bertanding di DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong yang kesemuanya berada di dalam kawasan Parlimen Saratok.

Ali mengumumkan menarik diri sebagai calon Bebas bagi DUN Krian pada Khamis dan akan memberi sokongan penuh kepada calon GPS, Friday Belik.

Artikel Berkaitan:

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, keputusannya itu bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara PN dan GPS.

Sebelum itu, keputusan Ali bertanding sebagai calon bebas menimbulkan rasa tidak senang GPS apabila pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menzahirkan rasa kecewa dan menyifatkan tindakan itu telah 'langgar janji' yang dibuat Muhyiddin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!