Polis kesan individu persenda OKU dalam media sosial

Klip video yang memaparkan dua lelaki mengajuk perbuatan seperti OKU dimuat naik menerusi aplikasi TikTok.
Klip video yang memaparkan dua lelaki mengajuk perbuatan seperti OKU dimuat naik menerusi aplikasi TikTok.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesan empat individu yang didakwa mempersenda dan menyalahgunakan kemudahan khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dalam dua klip video yang dimuat naik menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, beliau menerima laporan daripada seorang wanita selepas pengadu menonton klip video berkenaan semasa berada di bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Menurutnya, dalam video berkenaan, suspek bertindak mengajuk pergerakan dan perbuatan seolah-olah mereka adalah golongan OKU fizikal yang tempang sambil membuat bunyi seakan beruk serta bergelak ketawa.

"Video pertama yang dimuat naik telah dilakonkan oleh dua orang lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta OKU di sebuah pusat beli-belah.

"Suspek juga didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya memarkir kenderaan mereka di tempat letak kereta OKU dan menggunakan bahasa kasar dan tidak sopan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Eng Lai memberitahu, video kedua pula memaparkan dua suspek wanita yang menyalahgunakan tandas khas OKU di sebuah stesen minyak di sini.

"Pengadu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kerana beranggapan ke semua suspek telah menghina komuniti OKU di Malaysia secara terang-terangan. Suspek juga tanpa rasa bersalah menggunakan warga OKU sebagai bahan untuk menarik perhatian pengguna di media sosial," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan berkenaan dua pemuda yang merakam perbuatan mereka menggunakan parkir khas OKU di sebuah pusat beli-belah di sini dan diminta membuat permohonan maaf kepada komuniti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan tersebut, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi membidas tindakan mereka yang berpura-pura menjadi OKU dan menceroboh kemudahan dikhaskan kerana dilihat seperti mempersendakan golongan istimewa terbabit.

Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, kesemua suspek sedang dikesan berdasarkan maklumat yang telah disalurkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

"Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!