MyArm intai peluang gusti lengan ke Kemboja 2023

Mohd. Zil Fadli (dua, kanan) ketika sidang media pada Khamis.
Mohd. Zil Fadli (dua, kanan) ketika sidang media pada Khamis.
A
A
A

KOMUNITI gusti lengan berpeluang menyaksikan sukan tersebut dipertandingankan pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023, sekiranya perbincangan Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArm) dan Persekutuan Gusti Lengan Kemboja menghasilkan keputusan yang positif.

Malah menurut Presiden MyArm, Mohd. Zil Fadli Abd. Halim, keyakinan itu hadir apabila MyArm mempunyai hubungan rapat dengan badan induk sukan lasak negara tersebut selain presidennya juga merupakan pegawai kanan Jawatankuasa Olimpik Kemboja.

“Sebenarnya MyArm juga membantu menubuhkan Persekutuan Gusti Lengan Kemboja selain menyokong penyertaan badan induk itu sebagai ahli gabungan Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA). Insya-ALLAH, saya akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini dengan Kemboja awal tahun depan.

“Untuk pengetahuan di Asia Tenggara, Malaysia boleh dianggap kuasa utama gusti lengan dan dicabar negara-negara seperti Filipina, Thailand dan Singapura dalam kategori-kategori berat badan tertentu,” katanya semasa sidang media pada Khamis.

Mohd. Zil Fadli berkata demikian ketika berkongsi perkembangan terkini sukan tersebut, selain memaklumkan badan induk itu bersama badan induk negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Filipina dan Singapura akan cuba membida kepada Kemboja untuk menjadikan gusti lengan sebagai sukan berpingat Sukan SEA 2023.

Sementara itu, Mohd. Zil Fadli mengesahkan sebanyak 42 kategori berat badan dengan 201 atlet dari 14 negeri bakal berentap pada Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021 di Hub Rekreasi Aman Tropicana, Teluk Panglima Garang pada Sabtu ini.

Katanya, kategori berat itu meliputi Senior Lelaki dan Wanita, Belia Bawah 21 Tahun, Remaja Bawah 18 dan Master.

Menurutnya, juara kebangsaan dua tahun berturut-turut termasuk 2019, Jake Chia Jun Kit akan mempertahankan gelaran keseluruhan tangan kiri Kategori Bawah 95 kilogram selain tangan kanan.

Artikel Berkaitan:

"Selain Jake, bakal beraksi ialah juara dunia 70kg pada Kejuaraan Dunia 2019 di Rumia, Poland dari Sabah, Joffey Jolly dan pemenang pingat perak 57kg di sana, Safuan Asif serta naib juara remaja dunia, Abigail Kee dari Sarawak,” katanya.

“Kami sudah ada 201 atlet menyertai selepas tarikh penyertaan ditutup 5 Disember lalu. Malah angka penyertaan kali ini merupakan yang terbesar memandangkan hampir dua tahun Kejohanan Kebangsaan MyArm tidak dapat di langsung kan berikutan pandemik Covid-19,” katanya.

Untuk rekod, setiap pemenang kategori senior kejuaraan ini akan terpilih mewakili Malaysia pada Piala Dunia Zioty Tur di Kuching, Sarawak pada Mac 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!