Kisah Najib ibarat kisah dongeng
ISU berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagai tiada kesudahan walaupun Mahkamah Rayuan kekal sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya.
Pada Khamis, menurut Mahkamah Rayuan, pembelaan bekas Perdana Menteri itu mengenai RM42 juta dalam akaun peribadinya yang didakwa sebagai wang derma Arab adalah dongengan seumpama Hikayat Seribu Satu Malam.
Dalam penghakiman bertulis setebal 308 muka surat, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, kisah derma Arab itu tidak lain hanyalah rekaan yang langsung tidak mempunyai kredibiliti.
Katanya, kisah ini malah lebih dongeng daripada kisah Hikayat Seribu Satu Malam, bukan hanya tidak ada kredibiliti, malah dongeng ini bercanggah dan ditolak oleh keterangan berdokumen.
Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan bahawa tidak ada bukti langsung yang menunjukkan RM42 juta itu datangnya daripada, atau mungkin datang daripada keluarga Diraja Arab Saudi, malah tidak ada asas yang munasabah bagi perayu untuk mempercayainya.
Sementara itu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis berkata “Datuk Seri Najib Razak mengkhianati kepercayaan rakyat apabila terlibat dengan penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd".
Dalam keputusan penghakiman setebal 317 muka surat, tiga panel hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menyatakan, Najib selaku perayu bukan sahaja melanggar amanah diberikan rakyat, malah mengkhianatinya.
Menurut panel hakim itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2020 atas sabitan dan hukuman hukuman 12 tahun penjara, denda RM210 juta terhadap Najib sudah mengambil kira pelbagai faktor.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bahawa masih ada proses perbicaraan di Mahkamah Persekutuan sehingga keputusan dibuat.
Tanpa menyebut sebarang nama, hantaran tersebut dipercayai merujuk kepada keputusan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan pada Rabu.
Beliau turut menjelaskan bahawa ada satu lagi Mahkamah Tuhan di akhirat.
Katanya, “Prinsip 'seseorang itu tidak bersalah, sehingga dibuktikan ia bersalah', maka setelah berjaya dibuktikan, maka itulah keputusannya.
Sementara itu, Najib tidak akan mengalah dan memaklumkan beliau telah mengarahkan pasukan penguambelanya memfailkan rayuan kes ke Mahkamah Persekutuan dengan segera.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!