Sean teruja perkuat cabaran Jang

Sean ketika bersama Selangor sebelum ini.
Sean ketika bersama Selangor sebelum ini.
A
A
A

HANYA Negeri Sembilan FC berada dalam minda penyerang, Sean Eugene Selvaraj selepas jodohnya selama empat tahun bersama Selangor berakhir pada penghujung musim ini.

Pemain yang berasal dari Port Dickson ini gembira kerana dapat berpeluang berbakti dengan negeri kelahirannya selain mahu membantu Negeri Sembilan kembali menjadi pencabar hebat di Liga Malaysia 2022.

Tambahnya, dia amat menghormati Negeri Sembilan yang telah menjadi tempat permulaannya selaku pemain profesional selain berasakan ini waktu yang sesuai membalas jasa mereka.

“Apabila saya ketahui kontrak tidak lagi disambung untuk musim depan, Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama yang menjadi keutamaan saya.

“Sememangnya saya sentiasa menghormati Negeri Sembilan, negeri tempat saya berasal malah semasa saya ke Selangor (2018), mereka juga menghormati keputusan saya.

“Tambahan mereka kembali beraksi di Liga Super pada musim depan, saya mahu bantu Negeri Sembilan di Liga Super selain Piala Malaysia.

“Segalanya tampak sempurna apabila mereka juga menunjukkan minat yang sama dan diharapkan 2022 akan kembali menjadi detik istimewa dalam karier.

“Berdasarkan pengalaman empat tahun di Liga Super dengan pencapaian membantu Selangor meraih tempat ketiga pada 2019, saya harap boleh membantu Negeri Sembilan meraih sesuatu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sean pernah beraksi selama dua musim pada 2016 dan 2017 ketika di usia 20 tahun sebelum dipikat Selangor yang ketika itu di bawah kendalian P Maniam.

Selepas lalui beberapa musim yang cemerlang, musim ini dianggap antara detik yang mahu dilupakan oleh Sean ekoran kurang mendapat peluang untuk diturunkan dalam kebanyakan perlawanan.

Perkara itu juga menjadi motivasi utama buat Sean yang berazam mahu meraih lebih banyak minit permainan bersama Negeri Sembilan selain mahu kembali bermain sebagai penyerang.

“Musim 2021 adalah tahun yang paling mahu saya lupakan kerana tidak banyak minit permainan diperolehi malah dekat 12 perlawanan saya langsung tidak disenaraikan.

“Saya berdepan masalah kecederaan dan apabila sudah cergas, sukar bagi saya merampas kembali tempat kerana mungkin jurulatih mahu berikan peluang kepada pemain-pemain muda yang begitu menyerlah.

“Jadi dengan Negeri Sembilan saya harap lebih kerap bermain dan dalam masa sama, mahu kembali beraksi selaku penyerang kerana saya lebih selesa sebagai pemain nombor 9 di atas padang.

“Biarpun sebelum ini lebih kerap bertindak selaku pemain sayap semasa di Selangor, saya sebenarnya lebih selesa bermain sebagai penyerang iaitu posisi asal saya semasa bermula serius dalam bola sepak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!