Tak sempat jual 85 ekor biri-biri, kambing seludup
PASIR MAS - Sebanyak 85 ekor biri-biri dan lapan ekor kambing bernilai RM63,100 dipercayai diseludup dari negara jiran tidak sempat dipasarkan apabila berjaya dirampas polis di sini awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam rondaan jam 12.55 pagi di Jalan Repek-Lubok Jong, pihaknya mengesan sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan.
"Kami mengekori lori berkenaan dan berjaya menahannya di tepi jalan Taman Tengku Anis. Pemeriksaan di belakang lori menemui 85 ekor biri-biri dan lapan ekor kambing.
"Pemandu dan seorang kelindan berusia awal 20-an ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen permit permindahan haiwan ternakan dan binatang berkenaan diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, hasil siasatan awal, kedua-dua tahanan mengaku terlibat dengan penyeludupan biri-biri dan kambing dari Thailand.
Katanya, kesemua kambing tersebut diambil di kawasan tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti dan dihantar ke kandang yang terletak di belakang Taman Tengku Anis, Lubok Jong.
"Tangkapan dan rampasan diserahkan ke pihak veterinar untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!