Alami kesan Covid-19, Kimmich direhatkan sehingga 2022

Joshua Kimmich
Joshua Kimmich
A
A
A

BAYERN Munich mengesahkan pemainnya yang belum divaksin, Joshua Kimmich akan terlepas baki perlawanan tahun ini selepas mengalami kesan sampingan akibat Covid-19.

Pemain tengah itu sebelum ini dilaporkan dijangkiti Covid-19 pada hujung November selain gajinya disekat gara-gara terlepas aksi bersama pasukan ketika menjalani kuarantin.

Kimmich kini telah menamatkan tempoh kuarantin, namun masih belum dapat kembali berlatih bersama pasukan kerana dia sedang bertarung dengan kesan sampingan virus tersebut.

"Saya gembira tempoh pengasingan diri saya yang disebabkan oleh Covid-19 telah berakhir.

"Saya kini mampu bermain dengan sangat baik, tetapi belum dapat berlatih sepenuhnya virus itu meninggalkan kesan kepada paru-paru saya.

"Oleh itu, saya akan melakukan beberapa latihan pemulihan dan tidak sabar untuk kembali beraksi sepenuhnya pada Januari," kata Kimmich dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Bayern.

Kimmich sebelum ini antara pemain bola sepak yang lantang menyuarakan pendapat berkenaan vaksin Covid-19.

Keraguannya didorong oleh apa yang dia anggap sebagai kekurangan kajian dan pemain berusia 26 tahun itu turut menegaskan bahawa dia bukan anti-vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Saya mempunyai kebimbangan mengenai kekurangan kajian jangka panjang vaksin Covid-19.

"Saya sudah tentu sedar akan tanggungjawab saya. Saya mengikut semua langkah kebersihan dan menjalani ujian setiap dua hingga tiga hari.

"Setiap orang harus membuat keputusan sendiri," katanya.

Kimmich akan terlepas pertembungan dengan Mainz, Stuttgart dan Wolfsburg sebelum tahun ini berakhir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!