Tangguh siasatan pengambilan tanah Sungai Baru ke tahun hadapan
KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meminta siasatan pengambilan tanah Sungai Baru, Kampong Bharu ditangguhkan ke tahun hadapan.
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bagi memberi ruang rundingan di antara pemaju dengan pemilik lot dan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru untuk mencapai persetujuan.
PKB berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui PKB bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula kawasan tersebut selaras fungsinya di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733).
"KWP dan PKB telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan rundingan bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL), pemaju dan pemilik lot dan flat PKNS Sungai Baru berkenaan isu ini.
"Lanjutan daripada rundingan tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan telah mencadangkan supaya siasatan pengambilan tanah (land enquiry) ditangguhkan ke tahun hadapan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
PKB memberitahu, Menteri Wilayah Persekutuan akan sentiasa berusaha membantu bagi memastikan rundingan antara pemaju dan pemilik lot dan flat terbabit berjalan dengan harmoni.
Sabtu lalu, sebahagian penduduk terlibat telah berkumpul menyuarakan bantahan isu pampasan rendah dan meminta kerajaan untuk campur tangan.
Baki penduduk flat yang tidak menurunkan persetujuan projek tersebut ditawarkan pampasan antara RM200,000 hingga RM250,000 di bawah tatacara Akta Pengambilan Tanah 1960.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!