Pengunjung, pemilik kelab malam dikompaun RM245,000
KUALA LUMPUR - Seramai 44 pengunjung sebuah pusat hiburan di sini dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam serbuan Ops Khas Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Ketua Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti (JPKK), Datuk Azman Ayob berkata, pemilik premis pusat hiburan tersebut turut dikenakan kompaun sebanyak RM25,000.
"Pasukan serbuan terdiri daripada 18 anggota dan pegawai mengeluarkan sebanyak 44 kompaun terhadap pengunjung dengan nilai kompaun berjumlah RM220,000.
"Nilai keseluruhan kompaun dikeluarkan hasil serbuan lewat malam tadi (Khamis) adalah berjumlah RM245,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Azman berkata, kesemua kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 17, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN Fasa Empat 2021(melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam).
Menurutnya, operasi seperti itu akan terus dipertingkatkan lagi dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!