Pergolakan politik dalam GPS akan diselesaikan secara baik
KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pergolakan yang berlaku dalam sesebuah parti sebagai perkara biasa.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi masalah itu dalam kalangan ahli, ia dapat diselesaikan secara baik demi kepentingan rakyat dan Sarawak.
"Kita akan atasi isu ini sebab sekarang ini masih samar-samar (isu pergeseran dalam kalangan ahli parti). Memang ada yang tidak puas hati, itu perkara biasa. Apa yang penting sekarang adalah kita bertanding untuk menubuhkan kerajaan. Jadi bagi saya isu itu hal kedua," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sembang Politik Bersama Ketua Menteri merangkap Presiden GPS secara maya anjuran Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak di sini pada Khamis.
Abang Johari yang juga Presiden GPS berkata, terdapat banyak parti politik baharu ditubuhkan di Sarawak sementara GPS juga akan berdepan ramai pencabar bagi 82 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Ketika ditanya sama ada GPS yakin dapat mengekalkan majoriti kerusi dimenangi sebanyak dua pertiga pada PRN ini, beliau berkata, anggota parti tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana segala kemungkinan boleh berlaku.
"Insya-ALLAH tapi jangan ambil ringan dengan pihak lawan. Saya sudah bertanding 10 kali termasuk kali ini. Jangan sesekali ambil ringan. Di pihak kami, kita hanya meneruskan kerja, kita serahkan kepada rakyat untuk menilai rekod dan prestasi GPS," katanya.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari menyangkal dakwaan pihak pembangkang yang mengatakan prosedur operasi standard (SOP) PRN Sarawak direka khas untuk ‘memenangkan’ GPS.
"Macam-macamlah andaian mereka. Itu saya serahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kalau diikutkan, kita (GPS) sendiri pun tidak 100 peratus bersetuju dengan apa yang berlaku, tapi kita mesti akur disebabkan keadaan masa kini.
"Hari ini kes penularan Covid-19 kita sudah menurun, tapi apa yang saya takutkan adalah kemunculan pelbagai varian baharu. Kalau kita lengahkan PRN misalnya menunggu keadaan baik, kita tidak tahu varian baharu Covid-19 akan muncul nanti.
"Jadi sebab itu kita tidak dapat menunggu kerana mandat sudah tamat pada Jun lalu. Saya tidak mahu menjadi Ketua Menteri yang tiada mandat kerana kerajaan memerlukan mandat untuk mentadbir negeri," ujar beliau.
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!