JDT ikat Gyeongnam FC di laman sendiri
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menunjukkan aksi dalam kelas tersendiri dan berjaya mengikat Gyeongnam FC 1-1 dalam aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019 di Stadium Larkin, Johor Bahru, sebentar tadi.
Bermain di tempat sendiri, pasukan tuan rumah mempersembahkan aksi yang penuh meyakinkan apabila menguasai permainan selain melancarkan beberapa siri serangan ke atas kelab dari Korea Selatan itu.
Sepanjang aksi separuh masa pertama, JDT turut menampil permainan yang kemas di bahagian tengah dan pertahanan sekali gus berjaya mengekang gerakan Gyeongnam FC yang akhirnya perlawanan berkesudahan tanpa jaringan.
Bermula aksi separuh masa kedua, pasukan pelawat menggandakan asakan ke atas JDT dan berjaya menghasilkan jaringan menerusi sepakan sudut yang ditanduk oleh Kwak Tae-hwi pada minit ke-52.
Tersentak dengan jaringan Gyeongnam FC, JDT memperkemaskan permainan serta melakukan serangan berterusan ke atas pasukan lawan dan seterusnya dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan.
Bintang import JDT, Diogo Luis Santo kemudiannya berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-68 sekali gus menyamakan kedudukan bagi kedua-kedua pasukan.
Pasukan tuan rumah mempunyai peluang untuk mendahului Gyeongnam FC pada minit ke-71 apabila sepakan Gonzalo Cabrera hasil lantunan percubaan Safawi Rasid yang terkena tiang, gagal menerjah gawang lawan.
Selain itu, JDT sekali lagi memiliki peluang yang sama menerusi Diogo tetapi tandukan dilakukan hasil hantaran Azrif Nashrulhaq dinafikan oleh tiang gol.
Walaupun kedua-kedua pasukan saling mengasak antara satu sama lain bagi mencari jaringan kemenangan, keputusan 1-1 tidak berubah sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.
Keputusan seri tersebut menyaksikan JDT mengumpul satu mata selepas menempuh dua perlawanan bagi aksi kumpulan E saingan ACL 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!