Tuchel dalam dilema
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel mengakui berdepan dilema bagi menurunkan kesebelasan terbaik menjelang kunjungan Leeds United di Stamford Bridge dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.
Menurut Tuchel, masalah kecederaan ramai pemain tonggak skuad The Blues itu nyata memberikan kesukaran kepadanya bagi memilih kesebelasan terbaik di sebalik berharap para pemain yang diturunkan dapat menggalas tanggungjawab dengan baik bagi meraih mata di depan penyokong sendiri.
“Saya mengaku agak pening apabila memikirkan ramai pemain yang mengalami masalah kecederaan bagi perlawanan dengan Leeds esok.
“Sebelum ini, masalah kecederaan pemain telah menyebabkan kita tewas 2-3 kepada West Ham dan selepas itu terikat 3-3 ketika berdepan Zenit St Petersburg pada pertengahan minggu ini.
“Oleh itu, pemain-pemain yang diturunkan diharap dapat memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan pasukan,” katanya.
Untuk rekod, The Blues itu berdepan masalah kecederaan pemain melibatkan Ruben Loftus-Cheek, Kai Havertz, Jorginho, Mateo Kovacic, Marcos Alonso, N’Golo Kante, Ben Chilwell dan Trevor Chalobah.
Mengenai para pemain yang akan diberikan tanggungjawab itu Tuchel berkata, perkara tersebut akan diputuskan segera bagi memastikan pemain yang diturunkan mampu memberikan cabaran sengit kepada Leeds.
Katanya, skuad kendalian Marcelo Bielsa itu pastinya akan turun dengan misi kemenangan bagi melebarkan lagi rekod kemenangan yang diperolehi setakat ini.
“Saya yakin Leeds akan memberikan tentangan sengit kepada kami. Oleh itu, diharapkan pemain mampu beraksi dengan baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!