Sidang Pertama (Khas) DUN Melaka ditetapkan 27 Disember
MELAKA - Kerajaan negeri menetapkan Persidangan Pertama (Khas) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 akan diadakan selama empat hari, bermula 27 hingga 30 Disember ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, persidangan DUN akan berlangsung pada jam 9.30 pagi hingga 1 petang sahaja sepanjang tempoh tersebut, sebagai mematuhi peraturan ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) serta syarat-syarat dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Persidangan ini adalah Persidangan Pertama (Khas) yang telah dijadualkan setelah pembentukan kerajaan negeri baharu pada 20 November lepas.
“Antara agenda persidangan tersebut adalah pembentangan Bajet 2022 Negeri Melaka, pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker DUN serta angkat sumpah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 8 Disember lepas memutuskan Ahli MMKN menyediakan Sasaran Kerangka Kerja (SKK) untuk portfolio masing-masing, sama seperti kakitangan awam yang perlu menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT).
Katanya, SKK itu perlu mengambil kira aku janji dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“SKK itu juga perlu mengambil kira tempoh iaitu 100 hari, satu tahun, dua tahun, tiga tahun, empat tahun dan lima tahun selain perancangan baharu yang mahu dilaksanakan, mengikut portfolio masing masing,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Kad Laporan kepada semua Ahli MMKN yang mana prestasi mereka akan dinilai berdasarkan KPI dan Kad Laporan tersebut.
Kata Sulaiman, Ahli MMKN juga diminta membentangkan pencapaian semasa SKK, KPI dan Kad Laporan bagi portfolio masing-masing pada minggu pertama setiap bulan.
“Kerajaan negeri juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pemantauan Manifesto yang akan bertanggungjawab memantau pelaksanaan aku janji dan inti pati manifesto oleh semua Ahli MMKN,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!