Terima bayaran pertama BMT 2021

Mohd Salim (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Hari Inovasi RISDA 2021 di Bangunan RISDA, Kuala Lumpur pada Khamis.
Mohd Salim (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Hari Inovasi RISDA 2021 di Bangunan RISDA, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

Sebanyak RM300 dikreditkan ke akaun 190,649 pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM139 juta untuk Bantuan Musim Tengkujuh tahun 2021 (BMT 2021) melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) tahun ini.

Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, sebanyak RM600 diterima setiap pekebun melalui peruntukan Bajet 2021 itu.

Jelasnya, pemberian bantuan bagi meringankan beban pekebun yang terjejas pendapatan ketika musim banjir itu dibuat melalui dua kali pembayaran iaitu RM300 untuk sekali bayar.

Tambahnya, BMT itu layak diberikan kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang mengusahakan keseluruhan tanah tidak melebihi 2.5 hektar.

“Mulai 19 November 2021, bayaran pertama BMT 2021 sebanyak RM300 telah mula dikreditkan ke akaun seramai 190,649 atau 82 peratus pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan RISDA.

“Kadar bantuan tersebut adalah RM300 seorang bagi bayaran peringkat pertama melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM57 juta dan bayaran peringkat kedua RM300 akan dikreditkan ke dalam akaun penerima, pada 24 Disember 2021,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Hari Inovasi RISDA 2021 di Bangunan RISDA di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mohd Salim (dua dari kanan) menyampaikan trofi kepada Pengarah RISDA Negeri Kelantan, Maizal Hakiman Nawawi yang menerima Anugerah MPSR Gemilang sempena Hari Inovasi RISDA 2021.
Mohd Salim (dua dari kanan) menyampaikan trofi kepada Pengarah RISDA Negeri Kelantan, Maizal Hakiman Nawawi yang menerima Anugerah MPSR Gemilang sempena Hari Inovasi RISDA 2021.

Turut hadir, Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Korporat RISDA, Sopian Abu Bakar dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan RISDA, Ali Sabuddin Abd Samad.

Mengulas lanjut, Mohd Salim berkata, baki permohonan iaitu seramai 41,670 orang yang layak akan disalurkan kepada mereka dari masa ke semasa sebelum berakhirnya bulan Disember 2021.

“Setakat ini, penerima tertinggi adalah Kelantan iaitu seramai 36,609 orang, diikuti Kedah (30,825) dan Sarawak (30,123),” katanya.

Sementara itu, Mohd Salim memberitahu, tahun ini juga menyaksikan penggunaan aplikasi dalam talian menerusi bmt.risda.gov.my dan pengemaskinian data melalui portal pertama kali dilaksanakan sejak BMT diperkenalkan sejak 2018.

Jelasnya, proses pendigitalan maklumat pekebun kecil akan dilaksanakan RISDA dari tahun ke tahun untuk memastikan semua kelompok itu menerima bantuan yang disalurkan.

“Penyaluran BMT 2021 ini merupakan salah satu usaha dan keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan beban pekebun kecil yang menghadapi penurunan akibat musim tengkujuh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!