'Lebih RM3 bilion saman jalan raya belum dijelaskan'

Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail
Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menganggarkan RM3.021 bilion nilai saman melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya di negeri ini yang masih belum dijelaskan sehingga kini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail berkata, jumlah itu melibatkan tunggakan saman sebanyak 10.073 juta yang dikeluarkan sejak tahun 2000 hingga 30 November 2021.

“Kategori saman yang dikeluarkan ini adalah melibatkan kesalahan memandu laju, halangan lalu lintas, abai isyarat lalu lintas, tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh dan ubah suai kenderaan.

“Semestinya ini adalah salah satu jumlah yang besar dan kami berharap orang ramai dapat bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pembayaran saman jalan raya sempena Program Diskaun 80 Peratus Saman Trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini pada Jumaat.

Khairul Azhar berkata, dalam tempoh sama, terdapat sebanyak 193,583 saman kesalahan jalan raya membabitkan warga Singapura yang masih belum dijelaskan.

“Untuk perkara ini, Polis Johor mengeluarkan sebanyak 193,583 saman melibatkan pelbagai kesalahan yang mana keseluruhannya hampir RM58 juta masih tertunggak dan tidak berbayar.

“Kebanyakan kesalahan yang dikenakan ini adalah memandu laju, abai peraturan lampu isyarat dan halangan lalu lintas,” katanya.

Dalam pada itu, sempena diskaun 80 peratus pengurangan saman trafik yang bermula pada Rabu, beliau berkata, sebanyak 35,027 saman telah dijelaskan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.6 juta.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah ini, saman bagi daerah Johor Bahru Selatan (JBS) merekodkan kutipan paling tinggi iaitu sebanyak RM730,960, daerah Batu Pahat (RM539,380) dan daerah Muar (RM469,500).

“Kaunter bayaran dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang dan saya harap orang ramai dapat menggunakan kesempatan ini untuk melunaskan saman tertunggak yang ada,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!