YARM Pahang sedia bantu SPRM perangi rasuah
KUANTAN - Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Pahang sedia bergerak bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai rakan kongsi bagi menjelaskan mengenai peranan bersama memerangi rasuah kepada pemain industri di negeri tersebut.
Pengerusinya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, ia termasuk menjelaskan mengenai pelaksanaan Liabiliti Korporat Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Menurutnya, pendidikan secara konsisten dan penjelasan mengenai usaha memerangi rasuah serta pelaksanaan liabiliti korporat itu amat penting untuk kefahaman pihak terlibat terutama dalam kalangan pengurusan kanan sesebuah syarikat.
"Selain mengenai interpretasi sebahagian perkataan dalam akta tersebut, sesi penjelasan itu perlu juga memberi tumpuan terhadap tahap kebertanggungjawaban atau impak salah laku rasuah terhadap sesebuah syarikat.
"Justeru usaha tersebut perlu segera digerakkan kepada pihak industri di Pahang melalui sesi libat urus dan kunjung hormat," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.
Wan Emril Nizam sebelum ini hadir pada Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2021 Peringkat SPRM Zon Timur di Kompleks SPRM Terengganu, pada Khamis.
Sambutan melibatkan SPRM Terengganu, Kelantan dan Pahang yang dilaksanakan secara dalam talian itu mendapat sokongan penuh daripada rakan strategik SPRM termasuk YARM.
Seramai 70 peserta menyertai program kali ini termasuk ekspatriat dari China, Jepun, Britain, Romania, Thailand, India dan Nepal serta pengurusan tertinggi beberapa syarikat.
Tambah beliau, pihaknya merancang menganjurkan dialog bersama pemain industri di Pahang pada masa akan datang sebagaimana diadakan pada HARA 2021 peringkat SPRM Zon Timur.
"Dialog itu dilihat amat berhasil dan terbukti SPRM mudah didekati, responsif dan jelas dalam memberikan penjelasan," katanya.
Tambah beliau, melalui dialog yang dirancang nanti membantu pihak SPRM mendengar suara ekspatriat dan bersedia membantu mereka mengenai masalah-masalah berkaitan yang dihadapi.
"Keperluan kepada maklumat dan sumber yang boleh dirujuk, polisi dan perkhidmatan ditawarkan SPRM akan merancakkan usaha bersama dalam pencegahan rasuah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!