Hati-hati Speedy Tigers

Skuad hoki negara bakal menghadapi tugasan penting pada ACT 2021 di Dhaka minggu depan.
Skuad hoki negara bakal menghadapi tugasan penting pada ACT 2021 di Dhaka minggu depan.
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara dinasihatkan lebih berwaspada bagi mengelak dijangkiti Covid-19 menjelang Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021 di Dhaka, Bangladesh yang bermula 14 Disember ini.

Perkara itu ditegaskan pengendali negara, Arul Selvaraj yang tidak mahu insiden yang berlaku kepada skuad hoki wanita baru-baru ini menimpa skuad The Speedy Tigers.

Bagi mengelak perkara tidak diingini, Arul berkata, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kini mengambil beberapa langkah dalam memastikan tiada penularan Covid-19 berlaku dalam kem hoki negara.

“Apa yang penting ketika ini, setiap pemain perlu berwaspada dan disiplin. Mereka harus meminimumkan risiko untuk dijangkiti Covid-19 sebab kita tidak mahu kejadian yang sama berlaku pada pasukan wanita berulang.

“Saya yakin dan percaya pemain-pemain sudah faham dengan situasi itu sebab ia bukan satu benda yang mudah, apatah lagi kalau kena beraksi di peringkat antarabangsa ketika pandemik ini.

“Jadi sebagai langkah berjaga-jaga, pihak KHM telah membuat beberapa langkah awal. Sebagai contoh, buat ujian air liur setiap kali turun pada sesi latihan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Sebelum ini, skuad negara terpaksa akur dengan keputusan Persekutuan Hoki Asia (AHF) apabila tidak dapat bertanding pada ACT Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan.

Ia berikutan salah seorang pemain negara, Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 ketika ujian calitan sebaik Malaysian Tigress tiba di Donghae pada 29 November lalu, sebelum ACT bermula dari 5 hingga 12 Disember.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Arul berkata, persiapan Speedy Tigers kini berjalan lancar menjelang ACT 2021 sambil menganggap 'atmosfera' pasukan kini berada dalam keadaan baik.

“Buat masa ini, persiapan pasukan semuanya berjalan lancar dan saya gembira melihat attitude pemain yang sentiasa bersemangat dalam setiap sesi latihan,” ujarnya.

Biarpun tidak meletakkan sebarang sasaran khusus pada kejohanan tersebut, Arul berharap anak-anak buahnya dapat merakamkan keputusan positif dalam setiap perlawanan yang diharungi nanti.

“Saya cuma harap kami boleh raih kemenangan. Sebab kejohanan ini bagi mata untuk naikkan ranking. Jadi dengan meraih kemenangan, saya rasa ranking pasukan juga akan naik,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!