Perak tiada halangan buka RPT untuk generasi muda
IPOH - Kerajaan Perak tidak menghalang sebarang projek perumahan dan penempatan baharu seperti Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) khusus untuk golongan belia di negeri tersebut.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, bagaimanapun kawasan-kawasan RPT yang ingin dicadangkan mesti dipastikan terlebih dahulu sama ada sudah mempunyai peserta sedia ada atau sebaliknya.
Menurutnya, melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), satu projek perumahan di Tanjung Tualang di bawah skim Rumah Perakku dilaksanakan dengan keutamaan diberikan kepada golongan belia.
"Kerajaan negeri memang tiada halangan untuk sebarang projek perumahan atau penempatan baharu seperti RPT yang boleh dibuka khusus untuk generasi muda.
"Di bawah LPHP mempunyai peruntukan membangunkan RPT tetapi kos-kos pembangunan ini akan dibiayai pembeli dan projek akan dinilai mengikut keutamaan dan kemampuan kewangan LPHP," katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Mohamad Zuraimi Razali (BN-Manong) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-14 di sini, pada Jumaat.
Nolee Ashilin berkata, bagi tujuan membantu generasi muda untuk memiliki rumah di kawasan luar bandar, kerajaan negeri pada dasarnya boleh membuka kawasan penempatan atau rancangan perumahan mampu milik di kawasan tanah terbiar jika tanah tersebut masih berstatus tanah kerajaan.
Menurutnya, bagi tujuan pembangunan tanah rizab yang ingin dimajukan, kelulusan pihak Berkuasa Negeri untuk tujuan pembatalan rizab tersebut perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum boleh dimajukan.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tujuan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong, terdapat beberapa RPT diluluskan dan memerlukan peruntukan pembangunan untuk kerja tanah dan penyediaan infrastruktur asas.
Tambah Nolee Ashilin, antaranya ialah RPT Ulu Kenas seluas 3.35 hektar, RPT Guar (12.95 hektar) dan RPT Lempor (5.46 hektar).
Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri akan meneliti kos penyediaan infrastruktur yang diperlukan dan akan dimasukkan dalam bajet kerajaan negeri mengikut kemampuan kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!