Budaya tinggal inap rancakkan industri pelancongan Selangor
PETALING JAYA - Budaya tinggal inap (staycation) di hotel-hotel di Selangor menunjukkan peningkatan berikutan kebenaran beroperasi bagi industri pelancongan pada Oktober lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, pihaknya masih menanti data kunjungan pelanggan ke premis-premis berkenaan.
Menurutnya, jumlah pengunjung yang menginap di hotel-hotel sekitar Selangor dan Kuala Lumpur itu akan diperoleh pada suku pertama tahun hadapan.
"Budaya tinggal inap agak meningkat sejak tiga bulan terakhir ini, yang mana mereka menghabiskan masa hujung minggu di hotel-hotel di bandar-bandar sekitar Selangor.
"Kita sedang menunggu jumlah tersebut dari hotel-hotel di Selangor dan ia akan diperoleh pada suku pertama tahun hadapan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 (TSGC2021) di Hotel New World, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, jumlah pelancong ke Selangor pada 2020 menurun sebanyak lebih 173.7 peratus berbanding 2019.
Ujarnya, kerajaan Selangor menerusi Tourism Selangor sentiasa berusaha untuk memacu kembali industri pelancongan yang terjejas teruk disebabkan oleh pandemik menerusi pelbagai inisiatif oleh pihak kerajaan dan agensi berkaitan.
Beliau berkata, dengan kemungkinan sempadan antarabangsa dibuka, industri pelancongan di Selangor perlu mempunyai persediaan yang baik bagi menghadapi peningkatan pengunjung ke negeri ini.
"Sehingga sempadan dibuka, baru kita boleh anggarkan jumlah kehadiran pengunjung ke Selangor akan meningkat kerana pada 2019, sekitar tujuh hingga lapan juta pelancong datang ke Selangor.
"Untuk kembali kepada jumlah tersebut, kita perlu bersedia dengan pembangunan industri ini.
"Kerajaan Selangor bertanggungjawab membantu pemain-pemain industri pelancongan untuk terlibat dan bersedia bagi kemungkinan itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!